KUALA LUMPUR: Timbalan ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2023, Sharon Wee mahu memastikan keadaan emosi dan mental atlet berbasikal wanita yang mengalami gangguan seksual, berada pada keadaan baik menjelang temasya berkenaan.

Beliau juga sangat kecewa dan terkejut dengan insiden gangguan seksual yang didakwa melibatkan jurulatih kebangsaan, apabila hanya tinggal lebih kurang lima minggu sahaja lagi untuk temasya yang dijadualkan dari 5 hinggga 17 Mei di Phnom Penh, Kemboja itu bermula.

Lebih menyedihkannya apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru dua minggu lepas melancarkan Kod Sukan Selamat yang merangkumi panduan dan rujukan kepada komuniti sukan mengenai skop sukan selamat dan tanggungjawab mengenai aspek keselamatan gangguan seksual, buli dan keganasan.

Sharon, bekas pemain skuasy yang mewakili negara selama 20 tahun berkata beliau sedia memberikan kaunseling kepada atlet yang menjadi mangsa gangguan itu.

"Kita bersama-sama perlu memastikan beliau (atlet berbasikal wanita) rasa selamat dan tidak mengalami trauma untuk terus mencapai kejayaan dalam sukan berbasikal dan harumkan nama negara. Pada masa sama, saya nak atlet wanita itu dijaga, diberi ruang, privasi dan mahu beliau selamat.

"Sebagai seorang wanita, atlet negara dan pentadbir sukan, saya tidak bersetuju dan membantah segala gangguan seksual dalam sukan. Pihak yang bersalah, harus dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui selepas lawatan latihan skuad jetski negara di Tasik Biru Kundang, malam tadi.

Semalam, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang pelumba acara berbasikal bukit (MTB).

Atlet berusia 20-an itu telah membuat laporan polis pada Khamis, mendakwa mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya sendiri semasa menjalani latihan bersama pasukan dan PKBM mengambil tindakan serta-merta menggantung jurulatih berkenaan untuk membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Sharon percaya pihak PKBM dan polis dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), KBS dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), akan melakukan siasatan terperinci dalam kes itu.

Sementara itu, Sharon yang telah bergelar atlet kebangsaan seawal umur 13 tahun berkata Malaysia, terutamanya dari segi sukan, merupakan antara negara yang selamat untuk semua golongan termasuk wanita dan kanak-kanak.

"Ada satu dua manusia dalam dunia ini yang mencemarkan keselamatan sukan di negara kita. Jadi insiden ini tidak mewakili semua ahli sukan atau masyarakat... negara Malaysia ini negara yang selamat dan sukan ini selamat di Malaysia.

"Apa yang penting adalah kita bersama-sama mencari penyelesaian dan mewujudkan kesedaran bahawa sukan seharusnya selamat dan menjalankan tangungjawab masing-masing," katanya.

-- BERNAMA