SUKAN
Gastak nafi dakwaan tidak agih wang kemenangan kepada pemain
Gastak memandang serius isu yang tular di media sosial baru-baru ini, kerana ia telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pelbagai pihak.
KOTA BHARU: Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) menafikan laporan yang mendakwa wang kemenangan Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen 1 musim lepas tidak diagihkan kepada pemain Kelantan Warriors.
Ringkasan AI
- Gastak menafikan dakwaan bahawa wang kemenangan Liga Sepak Takraw Divisyen 1 tidak diagihkan kepada pemain Kelantan Warriors, dan menjelaskan bahawa bayaran bonus sebanyak RM5,000 telah diberikan kepada setiap pemain dalam satu majlis pada 9 September tahun lepas.
- Kekeliruan timbul kerana tiada penjelasan bertulis mengenai bayaran tersebut, namun Gastak telah mendahulukan hampir RM40,000 termasuk hadiah individu sebelum wang kemenangan dikreditkan, dan memutuskan untuk memberi sagu hati tambahan RM500 kepada setiap pemain.
- Gastak menegaskan bahawa bonus adalah atas budi bicara pengurusan seperti termaktub dalam perjanjian, dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika terdapat kenyataan tidak tepat atau salah faham berterusan.
Gastak dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius isu yang tular di media sosial baru-baru ini, kerana ia telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pelbagai pihak.
"Perkara ini sebenarnya berpunca daripada salah faham antara pihak pengurusan dan para pemain. Dalam satu majlis yang diadakan pada 9 Sept tahun lepas, setiap pemain telah menerima bayaran bonus sebanyak RM5,000 yang merangkumi wang kemenangan selepas tamat saingan STL Divisyen 1 musim lepas.
"Kekeliruan timbul kerana tiada penjelasan lanjut bahawa bayaran itu merangkumi wang kemenangan. Namun, penjelasan telah diberikan secara lisan kepada pemain terbabit," menurut kenyataan itu.
Gastak turut menjelaskan semua bayaran termasuk hadiah bagi kategori Pemain Tekong Terbaik dan Apit Kanan Terbaik telah didahulukan walaupun ketika itu wang kemenangan Divisyen 1 belum lagi dikreditkan ke akaun gabungan berkenaan.
"Tindakan ini melibatkan hampir RM40,000. Ia dilakukan bagi memastikan mentaliti pasukan kekal positif tanpa gangguan faktor luaran yang boleh menjejaskan prestasi pemain.
"Wang kemenangan hanya dikreditkan kepada Gastak pada awal Oktober tahun lepas, selepas permohonan dibuat kepada pihak penganjur. Namun, mengambil tanggungjawab penuh atas aduan dan salah faham itu, Mesyuarat Majlis Tertinggi Gastak pada 18 Mei lepas telah memutuskan untuk memberikan sagu hati tambahan sebanyak RM500 kepada setiap pemain selepas Majlis Makan Malam Pengenalan Pemain Kelantan Warriors STL 2025," menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Gastak turut merujuk kenyataan di Facebook oleh Fakhrul Akmal yang menerima jumlah keseluruhan RM11,000 sepanjang enam minggu kejohanan. Jumlah itu merangkumi gaji asas, imbuhan komitmen persatuan (RM2,500), bahagian hadiah kemenangan (RM1,000) dan bonus Divisyen 1 (RM5,000).
"Bayaran gaji asas lain dibuat secara berperingkat mengikut Grand Prix seperti termaktub dalam kontrak pemain. Jumlah itu tidak termasuk tuntutan lain seperti cuti tanpa gaji dan elaun (gaji di Perbadanan Bekalan Air) melebihi RM2,000, tambang tiket pergi balik serta kos petrol dan tol jika menggunakan kenderaan sendiri ke kem latihan dan lokasi pertandingan.
"Bonus kemenangan lain juga tidak termasuk dalam jumlah itu, sebagaimana dinyatakan dalam Klausa 3.6 Perjanjian Gastak dan Pemain bahawa 'Bonus adalah berdasarkan budi bicara pihak pengurusan dan tidak dianggap sebagai hak automatik'," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Gastak menegaskan jika terdapat lagi salah faham atau ulasan tidak tepat berkaitan isu ini, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
-- BERNAMA