Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
SUKAN

Gerrard tolak tawaran kembali sebagai pengurus Rangers

Agensi 12/10/2025 | 00:00 MYT
Gerrard dilaporkan mengadakan rundingan dengan kelab Liga Perdana Scotland berkenaan awal minggu ini, susulan pemecatan Russell Martin sebagai ketua jurulatih pada Ahad lalu.
GLASGOW: Steven Gerrard menolak peluang untuk kembali membimbing Rangers bagi penggal kedua, dengan sumber kelab percaya keputusan mengejut itu dibuat kerana masa yang tidak tepat.

Bekas pemain tengah Liverpool dan England itu dilaporkan mengadakan rundingan dengan kelab Liga Perdana Scotland berkenaan awal minggu ini, susulan pemecatan Russell Martin sebagai ketua jurulatih pada Ahad lalu.

Perbincangan antara kedua-dua pihak dikatakan berjalan dengan baik, namun walaupun Gerrard, 45, terbuka untuk kembali ke Ibrox suatu hari nanti - dan kelab juga mempunyai pandangan sama - ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Gerrard pernah mengendalikan Rangers antara 2018 hingga 2021, dan membawa kelab itu menjuarai Liga Perdana Scotland musim 2020–2021, menamatkan dominasi lama Celtic.

Beliau sebelum ini menyuarakan hasrat untuk kembali ke dunia pengurusan selepas tempoh tidak berjaya bersama Aston Villa di England dan Al-Ettifaq di Arab Saudi.

Namun, Gerrard dilaporkan menarik diri daripada proses temuduga pada Sabtu.

Keputusan itu menyebabkan pengurusan baharu Rangers terus mencari pengganti Martin, yang hanya bertahan 17 perlawanan sejak dilantik pada Jun lalu.

Rangers kini berada di tangga kelapan liga, dengan hanya satu kemenangan daripada tujuh perlawanan pertama musim ini. Mereka dijadual menentang Dundee United Sabtu depan.

Selepas pengambilalihan oleh konsortium berpangkalan di Amerika Syarikat yang diketuai pengerusi baharu, Andrew Cavanagh, Martin dilantik dengan kontrak tiga tahun untuk memimpin pasukan.

Namun bekas pertahanan Rangers dan Scotland itu gagal mengulangi kejayaan membawa Southampton naik ke Liga Perdana Inggeris apabila rekod buruk - 13 kekalahan daripada 16 perlawanan - menyaksikannya dipecat musim berikutnya.

Penyokong Rangers juga dikatakan tidak pernah menerima pelantikan Martin dan rasa tidak puas hati itu memuncak apabila beliau hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Falkirk dalam aksi terakhirnya sebelum rehat antarabangsa.

Malah, Martin terpaksa diiringi polis keluar dari stadium selepas penyokong cuba menghalang bas pasukan daripada beredar.

Rangers hanya meraih kemenangan liga pertama pada hujung September dan turut diaibkan 9-1 secara agregat oleh Club Brugge dalam pusingan play-off Liga Juara-Juara Eropah.

Martin meninggalkan pasukan dengan Rangers ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu Hearts dan sembilan mata di belakang Celtic, setelah mencatat hanya lima kemenangan dalam semua pertandingan.

Nama Gerrard muncul semula sebagai calon utama pengganti, terutama kerana minat awal pemilik baharu dari AS terhadapnya. Namun, beberapa isu yang timbul menyebabkan beliau menarik diri daripada pertimbangan.

Dalam satu rakaman podcast bersama bekas rakan sepasukan England, Rio Ferdinand, yang dirakam sebelum Martin dipecat, Gerrard menyatakan beliau bersedia kembali mengurus pasukan.

Dalam temu bual itu, Gerrard juga menegaskan beliau mahu melatih pasukan “yang mampu bersaing untuk kejuaraan kerana itu lebih sesuai dengan dirinya”.

Namun kini, jelas sekali pasukan itu bukan Rangers. - Agensi


#Steven Gerrard #Rangers #Russell Martin #Liga Perdana Scotland