SPORTS
Giggs teruja Red Devils kembali ke Bukit Jalil, jamin aksi menarik lawan ASEAN All Stars

Ryan Giggs menerima jersi daripada Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Julian Kam selepas sidang media mengenai Maybank Challenge Cup di sebuah hotel di ibu kota hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kurang dua minggu lagi, perlawanan membabitkan Manchester United dan ASEAN All Stars di Stadium Nasional, Bukit Jalil semakin mendapat sambutan hangat setelah 56,500 tiket terjual setakat ini.
Lagenda The Red Devils, Ryan Giggs yang dibawa khas ke Kuala Lumpur pada Sabtu berkata, kunjungan anak buah Ruben Amorim itu akan memberikan pengalaman berharga khususnya kepada penyokong bola sepak di Asia Tenggara.
“Saya teruja dapat kembali ke Kuala Lumpur, datang semula ke Malaysia. Saya tahu ramai peminat teruja untuk menyaksikan Manchester United beraksi pada 28 Mei nanti. Jadi, datanglah ke stadium dan beri sokongan kepada pasukan.
“Daripada pengalaman saya sendiri, ini memang salah satu tempat terbaik untuk datang bermain bola dan untuk lihat betapa besarnya pengaruh Manchester United serta sokongan luar biasa di rantau ini. Jadi, pastikan anda datang ke perlawanan itu. Saya yakin aksi pasukan ini tidak akan mengecewakan. Mereka akan beri persembahan yang hebat.“Saya masih ingat, lebih kurang 16 tahun lalu saya pernah bermain di sini dan saya disambut dengan sangat meriah oleh para peminat. Memang satu pengalaman yang sangat menyeronokkan di Malaysia. Terima kasih atas semua sokongan, bukan hanya untuk saya tapi juga untuk pasukan,” katanya.
Kunjungan terakhir mereka ialah 16 tahun lalu semasa jelajah pra musim 2009 dengan menewaskan pilihan Malaysia sebanyak dua kali di Bukit Jalil.
Pertembungan merebut Maybank Challenge Cup Malaysia kali ini dijadual pada 28 Mei sebelum Red Devils menyambung jelajah ke Hong Kong dua hari selepas itu bagi menentang pasukan kebangsaan tuan rumah, sebelum berdepan Leeds United di Stockholm pada 19 Julai.
Tiga pemain negara antaranya Mohd Haziq Nadzli dan Dominic Tan sebelum ini diumum menyertai pasukan bimbingan Kim Sang Sik dari Vietnam untuk perlawanan ini, dan senarai terakhir akan dimuktamad beberapa hari lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami