SUKAN
Gimnas Rusia akan kembali sertai kejohanan antarabangsa

Persekutuan itu menegaskan bahawa usaha sedang giat dijalankan bagi membolehkan atlet Rusia kembali menyertai sukan antarabangsa sepenuhnya. - Gambar hiasan/ IG lalakramarenko2004
MOSCOW: Ahli gimnastik dan pengadil Rusia akan mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa sebagai peserta neutral, menurut Persekutuan Gimnastik Rusia dalam satu kenyataan.
Ringkasan AI
- Atlet dan pengadil gimnastik Rusia akan menyertai kejohanan antarabangsa sebagai peserta neutral, termasuk beberapa acara Piala Dunia dan Kejohanan Dunia Trampolin pada 2025.
- Walaupun FIG membenarkan penyertaan neutral sejak sekatan 2022, Rusia sebelum ini menarik diri daripada kejohanan FIG kerana mendakwa permohonan status neutral sering ditolak secara tidak adil.
- Persekutuan Gimnastik Rusia kini berusaha mengembalikan penyertaan penuh atlet mereka dalam sukan antarabangsa, dengan penyertaan dalam beberapa kejohanan masih dalam proses pengesahan.
Satu permohonan awal telah dikemukakan bagi membolehkan atlet Rusia menyertai Piala Cabaran Dunia Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) di Paris pada 13 hingga 14 September, dengan bilangan peserta Rusia akan dimuktamadkan menjelang 16 Julai.
TASS turut melaporkan bahawa pengadil Rusia juga akan terlibat dalam acara antarabangsa.
Persekutuan itu menegaskan bahawa usaha sedang giat dijalankan bagi membolehkan atlet Rusia kembali menyertai sukan antarabangsa sepenuhnya.
Pada Mac 2022, FIG menggantung penyertaan gimnas Rusia dan Belarus daripada kejohanan anjurannya susulan konflik di Ukraine.
Bagaimanapun, persekutuan antarabangsa itu kemudiannya melonggarkan sekatan dan membenarkan atlet dari kedua-dua negara bertanding sebagai peserta neutral, namun mereka masih dilarang menyertai acara berpasukan.
Pada 5 April lepas, Persekutuan Gimnastik Rusia mengumumkan bahawa atlet negara itu tidak akan mengambil bahagian dalam kejohanan FIG akan datang walaupun telah diberikan status neutral.
Keputusan itu dibuat susulan banyak penolakan permohonan status neutral secara tidak berasas dan bersifat berat sebelah terhadap atlet Rusia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami