GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
SUKAN

Gol berganda Semenyo lonjak AFC Bournemouth ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris

Muhamad Syazwan 04/10/2025 | 01:40 MYT
Akhirnya, segalanya diputuskan oleh ketajaman Semenyo yang kini mengumpul enam gol liga musim ini hanya di belakang Erling Haaland dalam senarai penjaring terbanyak. - Gambar Reuters
ANTOINE Semenyo menjadi wira dengan dua jaringan ketika Bournemouth bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Fulham 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung dalam cuaca ribut.

Ryan Sessegnon terlebih dahulu meletakkan Fulham di depan selepas menerima hantaran Samuel Chukwueze sebelum menewaskan penjaga gol Djordje Petrovic dengan penyudah tenang.

Namun, kebangkitan Bournemouth bermula menerusi aksi solo Semenyo yang menembusi pertahanan lawan dan menyudahkan rembatan dari sudut sempit menewasi Bernd Leno.

Tidak lama kemudian, pemain gantian Justin Kluivert meledak gol menakjubkan dari jarak 25 ela untuk memberikan kelebihan buat tuan rumah.

Dalam masa kecederaan, Semenyo sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyempurnakan serangan balas pantas, melengkapkan malam gemilangnya dengan dua gol dan satu bantuan jaringan.

Kemenangan ini melonjakkan Bournemouth ke tangga kedua liga, hanya satu mata di belakang Liverpool. Mereka kini tidak kalah sejak tewas pada hari pembukaan musim di Anfield.

Pengurus Andoni Iraola turut dipuji selepas membuat pertukaran taktikal berani memasukkan Ben Gannon-Doak menggantikan Marcos Senesi yang menjadi titik perubahan perlawanan sebelum kembali mengukuhkan benteng dengan membawa masuk Veljko Milosavljevic.

Fulham pula bergelut tanpa penyerang utama selepas kecederaan Rodrigo Muniz dan Raul Jimenez memaksa Marco Silva mengubah posisi Harry Wilson serta Josh King sebagai ‘false nine’.

Akhirnya, segalanya diputuskan oleh ketajaman Semenyo yang kini mengumpul enam gol liga musim ini hanya di belakang Erling Haaland dalam senarai penjaring terbanyak.




#Bournemouth #Antoine Semenyo #Liga Perdana Inggeris #EPL