SUKAN

Gol Lewandowski bantu Barca singkir Real Madrid dari puncak La Liga

Muhamad Syazwan 29/09/2025 | 04:20 MYT
Lewandowski (kanan) dan Yamal meraikan gol kedua pasukan ketika perlawanan La Liga antara FC Barcelona dan Real Sociedad di Lluis Companys Olympic Stadium, Barcelona, Sepanyol, 28 Sept 2025. (Foto AP)
BARCELONA kembali menguasai La Liga!

Robert Lewandowski sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila menanduk gol kemenangan untuk membantu Barca bangkit menewaskan Real Sociedad di Camp Nou.

Perlawanan bermula penuh debar apabila Sociedad terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah. Pada minit ke-31, Alvaro Odriozola pantas menyambar hantaran rendah Ander Barrenetxea untuk meletakkan pasukan pelawat di depan.

Namun, Barca tidak menunggu lama. Dua minit sebelum rehat, Jules Kounde melonjak paling tinggi menyambar sepakan sudut Marcus Rashford bagi menyamakan kedudukan.

Separuh masa kedua menjadi milik anak buah Hansi Flick. Keputusan memasukkan Lamine Yamal pada minit ke-58 terbukti tepat, pemain remaja sensasi berusia 18 tahun itu memperdaya pertahanan sebelum melambungkan hantaran cantik yang disudahkan Lewandowski dengan tandukan padu.

Rashford pula terus mempamerkan aksi lincah di sayap kiri, mencipta peluang dan menguji penjaga gol Sociedad, Alex Remiro, berkali-kali. Dia akhirnya dikeluarkan pada minit ke-78, dengan Flick mahu menyimpan tenaganya untuk aksi UCL menentang PSG minggu ini.

Sociedad nyaris menyamakan kedudukan apabila Takefusa Kubo hampir menghukum kesilapan Kounde, tetapi rembatan derasnya hanya singgah di palang. Barca juga berpeluang menambah jaringan, namun percubaan kedua Lewandowski sekadar melantun di atas garisan gol.

Apa pun, kemenangan 2-1 ini sudah cukup untuk membawa Barcelona ke puncak La Liga dengan enam kemenangan daripada tujuh perlawanan. Mereka kini satu mata di hadapan Real Madrid, yang dikejutkan Atletico dengan kekalahan 5-2.


#barcelona #La Liga #Real Madrid #Real Sociedad