Gol masa tambahan bawa Argentina ke suku akhir

Haider Yutim
Julai 1, 2014 22:33 MYT
Argentina bakal menentang Belgium di suku akhir nanti - EPA/DIEGO AZUBEL
Argentina layak ke suku akhir selepad menewaskan Switzerland 1-0 dalam aksi perlawanan pusingan kedua Piala Dunia 2014 di Arena Corinthians, Sao Paolo pagi tadi.
Gol masa tambahan oleh pemain tengah Argentina, Angel Di Maria pada minit ke-118 itu menyelamatkan perlawanan dari diheret ke penentuan sepakan penalti.
Jaringan Argentina itu merupakan hasil hantaran penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi kepada Di Maria yang berjaya menolak masuk bola ke sudut kiri bawah pintu gol.
EPA/SEBASTIAO MOREIRA
Keseluruhan separuh masa pertama dan kedua menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing sengit dan banyak membuat asakan, namun gagal memanfaatkan peluang yang diperolehi.
Switzerland dilihat mempunyai benteng pertahanan yang cukup mantap dan asakan penyerang mereka sekali-sekala di pintu go;lawan juga telah berjaya menggoyahkan benteng pertahanan Argentina.
Pada minit ke-39, Switzerland mendapat peluang terbaik untuk membuka jaringan apabila penyerang mereka, Josip Drmic mendapat hantaran bola di hadapan penjaga gol Argentina, Sergio Romero yang ketika itu seakan panik.
Namun peluang itu disia-siakan dan bola tersebut terselamat dan jatuh ke tangan Romero.
EPA/EMILIO LAVANDEIRA JR
Permainan seterusnya menyaksikan kedua-dua pasukan mendapat peluang dan membuat beberapa percubaan namun ia tidak berhasil, dan memaksa perlawanan dibawa ke masa tambahan.
Argentina menjaringkan gol kemenangan 1-0 untuk ke saingan seterusnya.
Pasukan itu bakal menentang Belgium pada perlawanan suku akhir nanti.
#2014 #Angel di Maria #Argentina #Piala Dunia #Switzerland