23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
SUKAN

Gol minit ke-96 ragut harapan Liverpool di Stamford Bridge

Muhamad Syazwan Jonizar 05/10/2025 | 02:30 MYT
Dalam tempoh hanya tujuh hari, Liverpool dua kali dihukum jaringan lewat permainan. - Foto REUTERS
LIVERPOOL pulang hampa dari Stamford Bridge selepas tunduk 2-1 kepada Chelsea hasil jaringan lewat Estevao pada minit ke-96, dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu malam.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu yang selama ini sering bergantung kepada detik-detik dramatik untuk menyelamatkan mata, kini tersungkur dan kehilangan cengkaman di puncak liga.

Sejak awal musim, skuad Arne Slot lebih banyak menampilkan watak pasukan yang hidup di hujung tanduk gol lewat minit akhir menjadi penentu. Bournemouth, Newcastle United, Arsenal, Burnley dan juga Atletico Madrid semuanya pernah menjadi mangsa pukulan terakhir Liverpool. Namun, strategi penuh risiko itu jelas tidak mampu bertahan lama, apatah lagi ketika prestasi pasukan masih jauh daripada tahap terbaik.

Dan kini, mereka sendiri merasai pahitnya terkena senjata yang sama. Dalam tempoh hanya tujuh hari, Liverpool dua kali dihukum jaringan lewat permainan.

Di Stamford Bridge, Chelsea meraih kemenangan 2-1 menerusi rembatan Estevao Willian pada minit ke-95. Kemudian, giliran Crystal Palace pula mencuri tiga mata apabila Eddie Nketiah menjaringkan gol pada minit ke-97 di Selhurst Park sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Liverpool dalam saingan liga musim ini.

The Reds bermula garang, namun Chelsea membuka tirai seawal minit ke-14. Moises Caicedo melepasi kawalan Alexis Mac Allister sebelum melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti yang menewaskan Giorgi Mamardashvili.

Liverpool cuba membalas menerusi Dominik Szoboszlai dan Cody Gakpo, tetapi percubaan mereka digagalkan benteng tuan rumah. Chelsea hampir menambah jaringan apabila Alejandro Garnacho menggegar tiang, manakala tuntutan penaltinya ditolak pengadil.

Babak kedua menyaksikan Liverpool lebih berani menyerang. Florian Wirtz memberi impak segera, namun Mohamed Salah mensia-siakan peluang satu lawan satu.

Akhirnya pada minit ke-64, hantaran lintang Szoboszlai ditanduk Isak untuk Gakpo yang mudah menolak masuk gol penyamaan. Perlawanan kembali seimbang, dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Ketika aksi dijangka berakhir seri, Chelsea memastikan tiga mata. Cucurella melepaskan hantaran silang dan Estevao pantas menyusup di tiang jauh untuk menolak bola masuk, menamatkan malam penuh dramatik di London.

Kekalahan ini membuatkan Liverpool keciciran tiga mata penting, manakala Chelsea meraikan kemenangan bergaya di hadapan penyokong sendiri.





#Liverpool #Chelsea #Liga Perdana Inggeris #Estevao