SUKAN

Gol set-piece ‘trademark’ bawa Arsenal menang 1-0 di Fulham

Muhamad Syazwan 19/10/2025 | 00:10 MYT
Gol tersebut merupakan jaringan ke-50 Arsenal hasil sepakan penjuru sejak awal musim 2022/23 rekod tertinggi dalam liga. - Gambar Reuters
ARSENAL terus kukuh di tangga teratas Premier League selepas menewaskan Fulham 1-0 di Craven Cottage hasil jaringan Leandro Trossard.

Perlawanan yang sengit itu akhirnya dipecahkan menerusi satu lagi situasi bola mati sepakan penjuru Bukayo Saka ditanduk Gabriel sebelum Trossard menyudahkan dari jarak dekat pada separuh masa kedua.

Gol tersebut merupakan jaringan ke-50 Arsenal hasil sepakan penjuru sejak awal musim 2022/23 rekod tertinggi dalam liga, jauh meninggalkan pasukan lain yang tidak melebihi 34 gol dalam tempoh sama.

Viktor Gyökeres berpeluang menambah jaringan buat The Gunners namun dua kali dinafikan oleh bekas penjaga gol Arsenal, Bernd Leno, selain melepaskan satu peluang keemasan. Arsenal turut mempunyai sepakan penalti dibatalkan selepas semakan VAR mendapati tiada kekasaran terhadap Saka.

Kecemerlangan gandingan pertahanan Gabriel dan William Saliba memastikan Arsenal mengekalkan rekod tanpa bolos buat kali kelima musim ini, manakala Saka terus menjadi penggerak utama serangan.

Fulham pula kehilangan tonggak pertahanan Joachim Andersen akibat kecederaan di separuh masa pertama, dan kekalahan ketiga berturut-turut itu menyaksikan mereka jatuh ke tangga ke-14 liga.

Menariknya, Arsenal tidak berdepan sebarang percubaan tepat ke arah gawang dalam dua perlawanan liga berturut-turut, kali terakhir rekod seumpama itu dicatat pada musim gemilang 2003/04.

Setakat ini, Arsenal menjadi pasukan pertama dengan 10 penjaring berbeza musim ini: Gyökeres, Saka, Timber, Calafiori, Zubimendi, Rice, Merino, Martinelli, Gabriel dan Trossard.



#Arsenal #Premier League #Fulham #Bukayo Saka