KUALA LUMPUR: Atlet golf negara yang membantu menyumbang emas untuk Malaysia pada Sukan SEA baru-baru ini, K.Rhaasrikanesh menyanggah persepsi bahawa golf hanyalah sukan untuk orang kaya.

Malah, beliau yang lebih dikenali sebagai Rush, percaya golf boleh dinikmati oleh semua yang berminat dengan sukan itu tanpa perlu lagi membeli satu set lengkap peralatan untuk mencubanya.

"Terdapat kayu golf yang boleh disewa di kebanyakan lapangan sasar dan kelab golf untuk orang ramai mencubanya dan bermain sukan itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Ditanya tentang bila beliau mula berkecimpung dalam sukan tersebut, pemuda berusia 21 tahun itu berkata beliau mula bermain golf seawal usia enam tahun dan menyertai pertandingan sejak berumur sembilan tahun.

Walaupun bapanya selalu bermain golf dan menjadi suri teladannya, minat sebenar beliau terhadap sukan itu mula timbul apabila beliau menonton filem The Greatest Game Ever Played.

Melihat minat Rhaasrikanesh terhadap sukan itu, bapa saudaranya R. Mahathevan membelikan set golf pertamanya dan bersama bapanya mereka mendaftarkan beliau dalam satu program junior di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (KGSAAS).

Bakatnya dikesan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) ketika beliau bermain di Heron Lake Golf Club di Vinh Phuc, Vietnam pada 2019.

"Saya sangat berterima kasih kepada MGA kerana memberi peluang kepada saya untuk mewakili negara pada Sukan SEA Hanoi baru-baru ini," katanya.

Rhaasrikanesh berjaya disenaraikan untuk temasya tersebut selepas beliau meraih tempat keempat dalam acara individu pada Kejohanan Golf Berpasukan Amatur Asia Tenggara dan memperoleh gangsa menerusi acara berpasukan pada Kejohanan Berpasukan Asia Tenggara (Piala Putra) 2019.

"Buat masa ini saya masih pemain amatur dan merancang untuk menjadi profesional selepas menamatkan pengajian ijazah dalam Perakaunan di University of Texas Rio Grande Valley dalam masa dua tahun.

"Selain Sukan Asia, saya juga berharap untuk bermain di Olimpik satu hari nanti," katanya.

Rhaasrikanesh muncul wira skuad negara di Hanoi apabila beliau menyumbang mata kemenangan untuk mengatasi Thailand 2-1, bagi membawa pulang emas berpasukan lelaki selepas 21 tahun.

-- BERNAMA