SUKAN

Grealish wira saat akhir, Everton tamatkan rekod hebat Palace

Muhamad Syazwan Jonizar 06/10/2025 | 00:00 MYT
Jack Grealish muncul wira dramatik apabila menjaringkan gol minit ke-93 untuk membantu Everton bangkit menewaskan Crystal Palace 2-1. - Foto REUTERS
JACK Grealish muncul wira dramatik apabila menjaringkan gol minit ke-93 untuk membantu Everton bangkit menewaskan Crystal Palace 2-1, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah 19 perlawanan kelab itu.

Palace dilihat berada di landasan kemenangan selepas Daniel Munoz menyempurnakan hantaran Ismaila Sarr pada minit ke-37, sementara Tyrick Mitchell turut hampir menggandakan kedudukan apabila rembatannya melepasi palang gol.

Pasukan kendalian Oliver Glasner itu tampak selesa mengawal permainan, dengan kelincahan Sarr sering menimbulkan masalah kepada benteng Toffees.

Namun kebangkitan Everton bermula selepas rehat apabila rentak permainan lebih bertenaga membawa kepada gol penyamaan. Iliman Ndiaye tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-76 selepas Maxence Lacroix menjatuhkan Tim Iroegbunam.

Sorakan di Hill Dickinson Stadium kembali bergema, memberikan dorongan besar buat anak buah David Moyes yang sebelum itu bergelut menembusi kubu Palace.

Ketika aksi seakan berakhir dengan keputusan seri, Grealish yang dipinjamkan dari Manchester City pantas menyambar bola muntah selepas tandukan Beto ditepis Dean Henderson, bagi memastikan gol sulungnya buat Toffees menjadi penentu tiga mata berharga.

Gol itu bukan sahaja memberi kemenangan penting, malah menandakan kebangkitan moral Everton menjelang jadual padat hujung tahun.

Bagi Palace, ia adalah kekalahan pertama sejak April, sekali gus menamatkan rentak cemerlang mereka dalam semua kejohanan.

Kekecewaan jelas terpancar pada wajah Glasner dan pemain-pemainnya, tetapi rekod panjang tanpa kalah itu tetap menjadi bukti konsistensi mereka sejak musim lalu.







#Everton #Crystal Palace #Jack Grealish #Liga Perdana Inggeris