Di saat peminat bola sepak Ivory Coast menyambut kegembiraan untuk melihat wakil Afrika pertama yang layak ke pusingan seterusnya dalam kejohanan piala dunia ini, hasrat tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri apabila melihat Greece dihadiahkan sepakan penalti setelah Samaras dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penyerang Ivory Coast, Giovanni Sio.
Greece terlebih dahulu membuka jaringan apabila Andreas Samaris yang masuk menggantikan Panagiotis Kone yang mengalami kecederaan pada minit ke-12 mudah merembat masuk untuk gol pertama Greece pada minit ke-42.
Tersentak dengan jaringan tersebut Ivory Coast menggandakan usaha dan berhasil memperoleh gol penyamaan melalui Wilfried Bony pada minit ke-74 dan tempo perlawanan kemudian bertukar menjadi laju apabila Ivory Coast cuba menambahkan jaringan melalui cubaan-cubaan bahaya pemain seperti Yaya Toure, Gervinho dan Didier Drogba.
Pemain Greece, Giorgos Samaras meraikan gol kemenangan pasukannya awal pagi tadi ketika menentang Ivory Coast. - AP Photo/Natacha Pisarenko
Ketika perlawanan memasuki waktu kecederaan dimana Ivory Coast sudah hampir pasti layak ke pusingan seterusnya, tindakan Giovanni Sio menjatuhkan Giorgos Samaras dalam kotak penalti mengakibatkan pengadil memberi sepakan penalti kepada Greece.
Samaras dengan mudah menyempurnakan sepakan tersebut sekaligus meletakkan Greece di tempat kedua Kumpulan C di belakang Colombia.
SEMENTARA ITU, hasrat Jepun untuk menjadi wakil Asia pertama layak ke pusingan seterusnya tidak kesampaian apabila dibenam 1-4 oleh Colombia.
Juan Cuadrado membuka jaringan Colombia sebelum Shinji Okazaki menyamakan kedudukan seminit sebelum separuh masa pertama tamat.
Penjaga gol Colombia, Faryd Mondragon (tengah) dipeluk rakan sepasukan selepas kemenangan 4-1 mereka menentang wakil Asia, Jepun. - AP Photo/Kirsty Wigglesworth
Dengan keputusan tersebut, Colombia akan bertemu pasukan Amerika Selatan, Uruguay dan Greece pula akan menentang Costa Rica pada peringkat kalah mati, Sabtu dan Ahad ini.
PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Jackson Martinez (Colombia) dan Wilfried Bony (Ivory Coast).