SUKAN

Gyokeres, Gabriel cemerlang, The Gunners kekal kebal di Eropah

Muhamad Syazwan 21/10/2025 | 22:50 MYT
Tiga daripada empat gol Arsenal berpunca daripada bola mati, bukti keampuhan taktikal Mikel Arteta. - Gambar AP
ARSENAL terus mengganas di pentas Liga Juara-Juara selepas membelasah Atletico Madrid 4-0 di Stadium Emirates, awal pagi Rabu.

Gabriel Magalhaes menjadi tonggak utama dengan satu gol dan satu bantuan, manakala Viktor Gyökeres kembali menemui sentuhan penyudah dengan dua jaringan.

Aksi bermula seimbang apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Eberechi Eze hampir membuka jaringan untuk tuan rumah selepas rembatan terkena pertahanan dan menggegar palang, manakala Julian Alvarez hampir mengambil kesempatan ketika David Raya tersilap posisi.

Gabriel akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-57 menerusi tandukan kencang hasil sepakan percuma Declan Rice.

Empat minit kemudian, Gabriel Martinelli menggandakan kelebihan dengan rembatan melengkung selepas larian bijak Myles Lewis-Skelly.

Gyökeres kemudian menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa gol apabila menyambar bola muntah untuk menjadikan kedudukan 3-0, sebelum menambah satu lagi jaringan hanya tiga minit selepas itu hasil tandukan Gabriel dari sepakan sudut.

Tiga daripada empat gol Arsenal berpunca daripada bola mati, bukti keampuhan taktikal Mikel Arteta. Kemenangan ini bukan sahaja mengekalkan rekod bersih tanpa bolos selepas tiga perlawanan, tetapi juga menjadikan The Gunners kelab Inggeris kedua menewaskan Atletico di Eropah musim ini selepas Liverpool.






#Arsenal #Champions League #Arsenal belasah Atletico Madrid #Gabriel Magalhaes