Hakim Danish enam terbaik, rentak Sepang ke Sepanyol

Hakim Danish menutup aksi pusingan keenam Kejuaraan Dunia JuniorGP di Litar Barcelona-Catalunya dengan keputusan memberangsangkan. - Foto ZK Racing
PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli, menutup aksi pusingan keenam Kejuaraan Dunia Junior Grand Prix (JuniorGP) di Litar Barcelona-Catalunya dengan keputusan memberangsangkan apabila menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan keenam daripada 26 pelumba.
Hakim Danish yang mewakili SIC Racing MSI menampilkan tunggangan konsisten sepanjang 13 pusingan mencatat masa terbaik 1 minit 47.756 saat hanya 0.078 saat berbeza daripada catatan terpantas perlumbaan.
Pelumba dari Terengganu itu memperbaiki pencapaian selepas menamatkan Perlumbaan 1 di tangga kesembilan, sekali gus mengekalkan prestasi konsisten dalam dua aksi berturut-turut di Sepanyol.
Perlumbaan dimenangi pelumba tuan rumah David Moreno, diikuti Uriarte dan Esteban, masing-masing mengekori rapat dengan jarak 7.1 saat di belakang juara.
Meskipun tidak menaiki podium, keputusan itu dianggap perkembangan positif buat pelumba berusia 18 tahun itu yang baru sahaja menamatkan penampilan wildcard dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kelas Moto3 di Litar Sepang minggu lalu.
Hakim Danish sebelum ini mencuri perhatian apabila mencatat masa pusingan terpantas dalam saingan tersebut sebelum terpaksa menarik diri akibat masalah teknikal.
“Dalam Race 1, saya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan. Saya berasa prestasi baik tetapi kurang agresif ketika memotong pelumba lain.
“Race 2, saya berusaha lebih agresif terutama di selekoh cuba memotong pelumba secepat mungkin, dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
“Terdapat sedikit kemalangan ketika saya tersentuh pelumba di hadapan pada straight line; saya harap dia baik-baik sahaja.
“Saya akan terus berusaha dan mengekalkan momentum positif untuk perlumbaan seterusnya di minggu depan,” kata Hakim Danish.
Penunggang Sepanyol, Brian Uriarte (KTM) kekal mendominasi di puncak Kejuaraan Dunia JuniorGP dengan 199 mata.
Keputusan di Litar Barcelona-Catalunya menyaksikan Hakim Danish berada di kedudukan kelapan secara keseluruhan dengan 74 mata dengan berbaki pusingan terakhir Ricardo Tormo pada 23 November ini. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


