Hamidin jumpa Presiden UAE FA, bincang persiapan pusingan kelayakan

Bernama
Mei 24, 2021 10:36 MYT
Hamidin (tengah) dan Tan Cheng Hoe (kanan) antara yang menerima jemputan makan tengah hari daripada Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid. - Facebook Football Association of Malaysia
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE FA), Sheikh Rashid Humaid Al Nuaimi di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
FAM dalam kenyataan berkata Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), telah mendapat jemputan makan tengah hari daripada Sheikh Rashid Humaid.
"Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai gambaran serta informasi terkini persiapan UAE FA sebagai tuan rumah bagi baki perlawanan Kumpulan G, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Stadium Zabeel dan Stadium Al Maktoum bermula 3-15 Jun ini," menurut kenyataan itu hari ini.
Sesi itu turut disertai Naib Presiden Kanan UAE FA Abdulla Naser Al Jneibi, Naib Presiden UAE FA Yousif Hussain Al Sahlawi, serta Setiausaha Agung UAE FA Mohammed Abdulla Hazzam Aldhaheri.
Hamidin tiba di Dubai Khamis lepas bersama skuad Harimau Malaya, bagi persiapan akhir menjelang baki tiga aksi kelayakan bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).
Pada aksi pemanas badan malam tadi, Malaysia di bawah kendalian Tan Cheng Hoe tewas 4-1 kepada Kuwait di Stadium The Sevens, Dubai. Skuad itu seterusnya akan beraksi dalam perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Bahrain di Manama Jumaat ini.
-- BERNAMA
#Hamidin Mohd Amin #UAE FA #Sheikh Rashid Humaid Al Nuaimi #Dubai #UAE #harimau Malaya #tuan rumah #perlawanan kelayakan #Piala Dunia #Piala Asia