SUKAN
Hamidin sah dilantik selaku Presiden Kehormat FAM
Hamidin (kanan) merupakan individu kedua menerima pengiktirafan tersebut selepas Almarhum Sultan Ahmad Shah. - Stadium Astro
TAN Sri Hamidin Mohd Amin sah diangkat selaku Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas diumumkan dalam Kongres Luar Biasa (EGM), sebentar tadi.
Ringkasan AI
- Tan Sri Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM sebagai penghargaan atas sumbangan beliau lebih 30 tahun dalam pembangunan bola sepak tempatan dan antarabangsa.
- Pelantikan ini tidak mempunyai kuasa eksekutif atau imbuhan, dan menjadikan beliau individu kedua menerima pengiktirafan tersebut selepas Almarhum Sultan Ahmad Shah.
- Hamidin mempunyai rekod kepimpinan yang luas dalam bola sepak, termasuk sebagai Setiausaha Agung FAM, Naib Presiden FAM, pengurus pasukan kebangsaan serta ahli majlis FIFA dan Exco FAM.
Pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat FAM adalah berdasarkan kredibiliti, pengalaman serta sumbangan besar beliau terhadap pembangunan bola sepak tanah air dan antarabangsa selama lebih 30 tahun.
Keputusan tersebut dibuat berdasarkan pengaruhnya di peringkat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).
Mantan presiden FAM 2018-2024 itu tidak mempertahankan jawatannya yang memilih untuk menamatkan perkhidmatannya pada 15 Februari lalu.
Namun, perlu difahami jawatan Presiden Kehormat itu tidak mempunyai kuasa eksekutif, elaun atau sebarang gaji.
Berdasarkan rekod, jawatan itu pernah disandang oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah pada 2014 selepas baginda melepaskan jawatan Presiden FAM ketika itu, sekali gus menjadikan Hamidin bakal individu kedua menerima pengiktirafan sama.
Pelantikan ini lebih bersifat penghormatan kepada jasa dan sumbangan besar Hamidin sepanjang mengetuai badan induk itu.
Kariernya dalam bola sepak bukanlah asing apabila Hamidin bermula sebagai Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), sebelum diangkat selaku Setiausaha Agung selama 15 tahun sehingga 2013.
Dalam tempoh berkenaan juga, Hamidin mula mengembangkan bakat kepimpinan dirinya dalam bidang pentadbiran bola sepak ke peringkat kebangsaan pula selepas terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2007-2010.
Ahli Majlis FIFA itu juga telah dilantik sebagai pengurus pasukan futsal lelaki kebangsaan selama empat tahun termasuk ketika memenangi pingat perak pada Sukan SEA 2007 di Thailand, selain pengurus pasukan bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan ke Sukan SEA 2011 Indonesia yang mana skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berjaya memenangi pingat emas menewaskan tuan rumah.
Penggal 2010 hingga 2014, Hamidin menduduki jawatan Naib Presiden FAM sebelum diumumkan sebagai Setiausaha Agung FAM yang baharu pada 27 Jun 2013. - Stadium Astro
#Hamidin Mohd Amin
#Presiden Kehormat FAM
#Persatuan Bolasepak Malaysia
#Kongres Luar Biasa
#terkini