SUKAN

Hannah harap isu pentadbiran Olahraga Malaysia selesai segera

Bernama 12/11/2025 | 10:00 MYT
Hannah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan kompleks sukan baharu di sebuah sekolah antarabangsa di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap kemelut pentadbiran Olahraga Malaysia (MA) yang berbangkit ketika ini tidak akan mengganggu persiapan atlet negara menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand bulan hadapan.


Ringkasan AI
  • Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berharap kemelut pentadbiran Olahraga Malaysia tidak mengganggu persiapan atlet negara untuk Sukan SEA 2025 di Thailand.
  • Pertikaian berkenaan keabsahan pelantikan individu dalam badan induk sukan olahraga harus diselesaikan dengan kadar segera sebelum temasya berlangsung.
  • Pihak Pesuruhjaya Sukan sedang menjalankan siasatan terhadap aduan ini, sementara Kementerian Belia dan Sukan akan menunggu hasil siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.


Beliau berkata berbaki beberapa minggu sebelum ke temasya itu, pertikaian mengenai isu keabsahan pelantikan individu dalam badan induk sukan olahraga itu perlu diselesaikan dengan kadar segera.

"Jadi, seperti yang saya telah nyatakan banyak kali, pentadbiran sukan dan pentadbiran persatuan sukan itu sangat penting untuk pastikan atlet-atlet tidak terjejas dan sukan itu boleh dibangunkan tanpa kita membazirkan masa dalam isu-isu pentadbiran seperti inilah.

"Bila kita ada aduan seperti ini dan kalau ada kem-kem yang mempunyai pendapat yang berbeza, ia sedikit sebanyak menjejaskan pembangunan sukan yang diwakili oleh mereka," katanya ketika merasmikan kompleks sukan baharu di sebuah sekolah antarabangsa di sini hari ini.

Hannah dalam pada itu mengesahkan pihak Pesuruhjaya Sukan (PJS) sedang menjalankan siasatan awal terhadap aduan berkenaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menunggu hasil siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Olahraga cukup penting untuk Malaysia, dalam apa-apa temasya, olahraga menyumbang paling banyak pingat. Oleh sebab itu saya nak pastikan perkara ini diselesaikan dengan cepat," katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (FTKLAA) Datuk Seri Dr V. Pulainthiran dilaporkan mendakwa terdapat pindaan perlembagaan MA sehingga membolehkan individu yang memegang tampuk kepimpinan badan induk itu kini dipilih semula sebagai Presiden MA bagi penggal 2025-2028.

-- BERNAMA








#Olahraga Malaysia #Hannah Yeoh #Sukan SEA #kemelut pentadbiran