[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
SUKAN

Hannah sekali lagi minta semua pihak beri ruang FAM selesai proses rayuan

Bernama 08/10/2025 | 10:30 MYT
Hannah berkata penubuhan suruhanjaya khas ketika ini dianggap terlalu awal kerana kes berkenaan masih dalam proses rayuan di peringkat badan induk bola sepak dunia itu.
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta semua pihak memberi ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyelesaikan proses rayuan berhubung hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sebelum mengambil langkah menubuhkan sebarang suruhanjaya siasatan.


Ringkasan AI
  • Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta semua pihak memberi ruang kepada FAM menyelesaikan proses rayuan terhadap hukuman FIFA sebelum mempertimbangkan penubuhan suruhanjaya siasatan, bagi mengelakkan tindakan tergesa-gesa.
  • FIFA menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan atas kesalahan pemalsuan dokumen semasa proses pendaftaran, melibatkan ketidakselarasan dalam dokumen sokongan yang dikemukakan oleh FAM.
  • Hannah memaklumkan tiada permintaan bantuan diterima daripada FAM setakat ini, kerana badan induk bola sepak negara itu mempunyai peguam sendiri dan lebih arif mengenai peraturan FIFA.


Beliau berkata penubuhan suruhanjaya khas ketika ini dianggap terlalu awal kerana kes berkenaan masih dalam proses rayuan di peringkat badan induk bola sepak dunia itu.

"Biar FAM lengkapkan dulu rayuan. Kalau rayuan pun belum selesai, kita dah mula buat siasatan atau tubuhkan suruhanjaya itu ibarat 'bertindak sebelum masanya'.

"Saya tahu ramai mahu tindakan segera tapi kita kena ikut peringkat demi peringkat. Lengkapkan dulu rayuan, baru kita bincang langkah seterusnya termasuk siasatan atau penambahbaikan," katanya selepas mengadakan lawatan ke kem final klinik Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di Akademi Sepak Takraw Malaysia hari ini.

Terdahulu, FIFA mengeluarkan penghakiman penuh serta alasan di sebalik tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan selepas mengesahkan wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain terbabit.

Menerusi laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memaklumkan tindakan itu diambil susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.

Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain terlibat mengandungi butiran yang tidak sepadan dengan rekod asal dari negara kelahiran sebenar pemain berkenaan.

Tujuh pemain yang digantung selama 12 bulan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Mengulas mengenai kemungkinan bantuan atau sokongan KBS kepada FAM atau pemain terlibat, Hannah berkata tiada permintaan diterima setakat ini daripada badan induk bola sepak negara itu.

"Setakat ini, tiada bantuan diperlukan daripada KBS kerana FAM mempunyai peguam mereka sendiri dan lebih arif mengenai peraturan FIFA," katanya.

-- BERNAMA



#FAM #FIFA #Hannah Yeoh #skandal FAM