KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya isu perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dikeluarkan daripada kalendar perlumbaan antarabangsa dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari ini.

Beliau berkata Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sedang berbincang dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk menyelesaikan isu itu.

"Naib Presiden PKBM. Datuk Amarjit Singh berkata pihaknya sedang berbincang dengan UCI mengenai cara untuk cari penyelesaian. Tunggu beberapa hari untuk dapat maklumat daripada mereka," katanya ketika ditemui semasa Kejohanan Hoki Konfederasi Hoki Malaysia (MHC)-Kelab Diraja Selangor (RSC) bawah-12 tahun, di sini, hari ini.

Status mengenai LTdL 2023, yang dijadualkan bermula 23-30 Sept ini, menjadi tanda tanya selepas perlumbaan berstatus ProSeries itu tidak lagi berada dalam kalendar perlumbaan badan induk dunia berkenaan kerana masalah hutang penganjur sebelum ini.

Hannah berkata isu tunggakan pembayaran itu bukan masalah baharu tetapi sudah lama wujud.

Ditanya sekiranya penganjur terdahulu akan dikenakan sebarang tindakan berikutan isu itu, Hannah berkata: "Jangan bimbang...tunggu MSN dan persatuan sukan kebangsaan akan selesaikan masalah ini."

Sebelum ini, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab mendakwa penganjur LTdL 2019, 2020 dan 2022 belum menyelesaikan tunggakan hutang lebih RM1 juta, yang tidak membabitkan hadiah kemenangan, berdasarkan laporan UCI.

Sementara itu, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata kejohanan hari ini ini merupakan kali pertama KHM berkolaborasi dengan kelab swasta, RSC untuk menganjurkan kejohanan pelbagai peringkat umur.

"Hari ini kita menyaksikan kejohanan bawah-12 tahun, dan esok akan berlangsung kejohanan bagi kategori terbuka dan veteran. Sebelum ini kita anjurkan sendiri kejohanan bawah-12 tahun dan veteran, tetapi kita berasa bahawa perlu bekerjasama dengan pihak kelab dan bercampur dengan masyarakat luar untuk kembangkan lagi sukan ini," katanya.

-- BERNAMA