Hari Sukan Negara (HSN) merupakan platform penting dalam menghidupkan kembali budaya dan semangat bersukan yang pernah diamalkan ketika zaman persekolahan melalui hari sukan tahunan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, konsep kedua-duanya adalah sama, tetapi skalanya berbeza memandangkan HSN melibatkan keseluruhan rakyat Malaysia.

"Memang betul HSN adalah pendekatan untuk hidupkan semula hari sukan sekolah.

"Kalau di sekolah, kita bersukan, berlawan secara sihat dan itu yang kita mahu lihat dalam HSN," katanya kepada Astro AWANI selepas ke udara dalam rancangan Johara Pagi ERA di Pusat Penyiaran Asia (Astro) Bukit Jalil, di sini hari ini.

Ketika ditanya pengalamannya ketika zaman persekolahan, Khairy memberitahu:

"Banyak kenangan manis daripada hari sukan sekolah. Di situlah saya melihat sendiri dan belajar tentang saingan dan semangat kesukanan."

Pada masa sama, Khairy turut menegaskan bahawa sukan memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat Malaysia.

"Lihat saja kejayaan negara di Sukan Olimpik, Sukan Paralimpik dan sebagainya, rakyat bersatu tanpa apa-apa keraguan.

"Mungkin ada platform lain (yang boleh menyatukan negara) tetapi paling hebat ialah sukan," tegasnya.

HSN yang bakal berlangsung 8 Oktober ini merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan di mana ia adalah satu langkah pro aktif di dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah 'Negara Bersukan'.

Ia juga sebagai pemangkin dalam usaha menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada sekitar 40 peratus berbanding 50 hingga 60 peratus di negara maju.

Budaya sukan melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif pada masa yang sama dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik di kalangan rakyat Malaysia.