SUKAN

Harimau Malaya fokus aksi persahabatan - Arif Aiman

Bernama 26/07/2025 | 09:45 MYT
Arif Aiman bercakap pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Rasmi Duta Bola Sepak Terbaharu PUMA di PUMA Store Sunway Pyramid hari ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Pemain sayap lincah Harimau Malaya, Arif Aiman Mohd Hanapi menegaskan fokus utama skuad kebangsaan kini tertumpu kepada dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin, September ini.


Ringkasan AI
  • Arif Aiman menumpukan perhatian kepada dua perlawanan persahabatan menentang Singapura (4 Sept) dan Palestin (8 Sept) sebagai persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia 2027.
  • Beliau enggan mengulas penarikan diri Malaysia daripada CAFA 2025, menyatakan pemain fokus kepada persiapan dan prestasi pasukan.
  • Arif menegaskan pentingnya mentaliti dan menyokong penyatuan antara pemain tempatan dan warisan di bawah satu bendera.


Perlawanan itu menjadi medan pemanas badan buat anak buah Peter Cklamovski menjelang baki aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027, yang bersambung Oktober depan.

Arif Aiman turut enggan mengulas keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik diri daripada Piala Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) 2025 dengan menyatakan sebagai pemain, tumpuannya adalah kepada persiapan pasukan menjelang aksi akan datang.

"Sebagai pemain, saya tak ambil tahu pun. Saya hanya fokus untuk apa yang ada di depan sekarang. Persediaan itu penting dan kami mahu bersedia sebaik mungkin menghadapi perlawanan persahabatan," katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian sebagai duta sebuah jenama sukan terkemuka, hari ini.

Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) bersama Pengurus PUMA Malaysia, Steven Tan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Rasmi Duta Bola Sepak Terbaharu PUMA di PUMA Store Sunway Pyramid hari ini. - Foto Bernama


Malaysia dijadualkan menentang Singapura pada 4 Sept sebelum bertemu Palestin pada 8 Sept dalam dua perlawanan persahabatan Tier 1.

Mengulas peranannya sebagai antara tonggak tempatan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya, Arif menegaskan isu persaingan antara pemain tempatan dan pemain warisan tidak seharusnya timbul.

"Bagi saya, ia adalah mengenai soal mentaliti. Mentaliti itu penting. Tak kisahlah kehadiran pemain warisan, kita adalah di bawah satu bendera yang sama. Cuma kehadiran pemain warisan banyak membantu pasukan dari semasa ke semasa," katanya.

-- BERNAMA



#Arif Aiman #harimau Malaya #perlawanan persahabatan #menentang Singapura