KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyeru semua rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya yang akan menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 9 malam Selasa.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengharapkan gelanggang akan menjadi lautan hitam kuning kerana yakin elemen pasukan kebangsaan dan penyokong akan membawa perbezaan tersendiri dalam perlawanan itu.

Tambahnya lagi skuad kendalian Kim Pan Gon berpeluang mencatatkan sejarah baharu dan seterusnya menamatkan penantian 43 tahun ke Piala Asia sekiranya berjaya menewaskan Bangladesh dalam aksi terakhir kumpulan E.

“Harimau Malaya memerlukan sokongan daripada rakyat Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga setia turun ke stadium malam esok untuk terus memberikan sokongan padu kepada pasukan kebangsaan.

“Lupakan aksi dengan Bahrain dan fokus menentang Bangladesh kerana saya kekal optimis peluang kita untuk layak ke Piala Asia masih lagi terbuka di mana tiada istilah buat Malaysia untuk menyerah awal," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi FAM.

Setakat jam 8 malam Isnin jualan tiket membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Bangladesh yang telah terjual sebanyak adalah sebanyak 25,568.