KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara tidak boleh memandang rendah kemampuan Timor Leste apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan terakhir dalam Kumpulan B Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2023, esok.

Sekiranya mencatat kemenangan pada pertembungan di Stadium Rayong Provincial, Thailand itu, skuad Harimau Muda bimbingan E. Elavarasan akan mengumpul enam mata sekali gus mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir selaku juara kumpulan.

Elavarasan berkata Timor Leste, yang mara ke separuh akhir edisi lepas, tidak boleh dianggap sebagai pasukan biasa terutama selepas berjaya memberi saingan hebat ketika tewas tipis di tangan juara Sukan SEA 2023, Indonesia, semalam.

"Dengan keputusan 1-0 saja Indonesia kalahkan mereka (Timor Leste) kita kena lebih berhati-hati bila bermain dengan Timor Leste supaya peluang ke separuh akhir tidak terjejas...kita akan cuba yang terbaik untuk dapatkan keputusan baik," katanya menerusi kiriman audio kepada media tempatan, hari ini.

Pada masa sama, Elavarasan berkata tahap keserasian pemain menunjukkan peningkatan dalam sesi latihan kebelakangan ini selepas mengharungi fasa persediaan yang singkat sebelum berlepas ke Thailand.

Sementara itu, ketua pasukan, Mohd Aiman Afif Md Afizul menyifatkan pasukan itu lebih bermotivasi menjelang perlawanan esok berikutan kejayaan menumbangkan Indonesia 2-1 pada aksi pembukaan kumpulan, Jumaat lalu.

"Perlawanan dengan Indonesia bagi satu semangat, kita langkah kanan dalam saingan kumpulan dan mahu teruskan momentum kemenangan berdepan Timor Leste tetapi kita tak boleh pandang rendah mereka dan akan buat yang terbaik demi tiga mata," kata pemain Kedah Darul Aman FC berusia 22 tahun itu.

Dalam pada itu, pemain sayap Muhamad Syahir Bashah, berkata beliau dan pasukan lebih bersedia untuk bertemu Timor Leste.

"Permainan saya tidak begitu baik pada perlawanan pertama, saya akan cuba beraksi dengan lebih baik untuk bantu pasukan. Kami tidak akan ambil mudah Timor Leste, kami tahu mereka juga bermain dengan baik tetapi kami akan beraksi lebih baik," kata pemain Selangor FC berusia 22 tahun itu.

Malaysia kini menerajui Kumpulan B dengan berkongsi tiga mata bersama Indonesia yang berada di tempat kedua sementara Timor Leste ketiga tanpa sebarang mata.

Hanya juara setiap kumpulan bersama naib juara terbaik layak ke separuh akhir.

Pencapaian terbaik Malaysia pada Kejohanan B-23 AFF adalah menduduki tempat keempat pada edisi sulung 2005.

-- BERNAMA