SUKAN

Helang Putih kembali jadi maskot rasmi SUKMA Selangor 2026

Bernama 15/08/2025 | 15:48 MYT
Reka bentuk maskot lelaki dan wanita itu menggambarkan perpaduan, keterangkuman serta sinergi atlet, dengan warna ikonik Selangor - merah, kuning dan putih - menghiasi penampilannya. - Gambar Facebook SUKMA Selangor 2026
SHAH ALAM: Helang Putih sekali lagi dipilih sebagai maskot rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos tahun depan.

Maskot berkenaan pernah menghiasi temasya sama ketika Selangor menjadi tuan rumah pada 1998.

Pelancaran logo, maskot dan tema SUKMA serta Para SUKMA 2026 disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, malam ini, dengan pasangan Helang Putih diperkenalkan sebagai simbol kekuatan dan semangat belia.

Tema "Rentak Kita, Aksi Kita" turut diumumkan bagi edisi kali ini.

Reka bentuk maskot lelaki dan wanita itu menggambarkan perpaduan, keterangkuman serta sinergi atlet, dengan warna ikonik Selangor -- merah, kuning dan putih -- menghiasi penampilannya.

Amirudin berkata penganjuran temasya dwitahunan itu diyakini memberi impak positif kepada pembangunan sukan negara.

"Saya menyeru semua pihak yang terbabit memberi fokus terbaik kerana ini bukan sekadar pencapaian peribadi, komuniti atau negeri, sebaliknya imej negara," katanya pada majlis di Dewan Raja Muda Musa, di sini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr K. Nagulendran; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria; dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.

Mohd Najwan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA Ke-22, berkata Selangor komited menganjurkan temasya lebih gemilang, selain mengekalkan semua acara seperti di Sarawak sebelum ini.

"Pendekatan ini memastikan SUKMA kembali kepada matlamat asal iaitu melahirkan bakat baharu. Kita sediakan padang sama rata tanpa mengira negeri asal atlet kerana matlamat akhirnya adalah melahirkan atlet yang mengharumkan nama negara," katanya.

-- BERNAMA


#Majlis Olimpik Malaysia #SUKMA #Helang Putih #warna ikonik