Henrikh Mkhitaryan cedera, rehat enam minggu

Astro Arena
Disember 25, 2018 06:39 MYT
Reaksi Henrikh Mkhitaryan ketika jatuh pada perlawanan antara Arsenal dan Tottenham Hotspur di Stadium Emirates, London, 19 Dis, 2018. REUTERS/Fail
PERANCANG tengah Arsenal, Henrikh Mkhitaryan, bakal direhatkan selama enam minggu susulan mengalami kecederaan patah pada kaki kanannya.
Pemain kebangsaan Armenia itu telah digantikan pada rehat separuh masa ketika Arsenal tewas 2-0 dalam saingan suku akhir Piala Liga kepada Tottenham Hotspur di Emirates, 19 Dis lalu.
Mkhitaryan menerima rawatan selepas diterjah Lucas Moura pada minit ke-30 sebelum dikeluarkan selepas tamat 45 minit pertama perlawanan.
Bagaimanapun, dia direhatkan ketika The Gunners merakamkan kemenangan 3-1 ke atas Burnley pada Sabtu dan kekal diketepikan hingga Februari.
Mkhitaryan bakal terlepas aksi berdepan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool dan Chelsea, manakala pertemuan berdepan Manchester City pada 3 Februari dijangka terlalu awal untuk dia diturunkan.
#Armenia #Arsenal #cedera #Chelsea #Emirates #enam minggu #Henrikh Mkhitaryan #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Lucas Moura #Piala Liga #rehat