SUKAN

Hoe Yean, Nur Eilisha raih gangsa di Kejohanan Akuatik Asia

Bernama 30/09/2025 | 21:20 MYT
Khiew Hoe Yean dan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jaguh renang negara Khiew Hoe Yean menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki pada Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India, semalam.

Hoe Yean menamatkan saingan dengan catatan 3 minit 52.69 saat (s), di belakang perenang China, Xu Haibo yang meraih emas dengan 3:49.29s, manakala perenang Vietnam, Nguyen Huy Hoang, membawa pulang perak dengan 3:51.63s dalam saingan di Kompleks Sukan Veer Savarkar.

Sementara itu, dua lagi wakil negara Lim Yin Chuen dan Phee Jinq En terlepas peluang untuk menyumbang pingat dalam acara masing-masing.

Yin Chuen menamatkan saingan di tempat ketujuh acara 100m gaya bebas lelaki dengan catatan 51.51s, manakala Jinq En sekadar menamatkan saingan di tempat keempat acara 100m kuak dada wanita dengan 1:10.68s.

Dalam perkembangan lain, penerjun muda negara Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj menyumbang pingat gangsa menerusi acara 10m platform wanita selepas mengutip 240.10 mata.

Rakan sepasukan Nur Farisya Alia Affendi menamatkan saingan di tempat kelima dengan 205.40 mata.

Pingat emas acara berkenaan dimenangi penerjun China, Liu Zihan, dengan 370.25 mata, manakala perak turut menjadi milik rakan senegara Wu Xiahan, yang mengumpul 298.75 mata.

Sementara itu, Muhammad Syafiq Puteh menamatkan saingan di tempat kelima acara 3m papan anjal lelaki selepas mengutip 355.05 mata.

Acara itu menyaksikan wakil China, Tai Xiaohu, meraih emas dengan 455.25 mata, manakala perak menjadi milik rakan sepasukan Lin Hengnuo dengan 432.45 mata.

Vyacheslav Kachanov dari Uzbekistan pula membawa pulang gangsa selepas mengumpul 368.85 mata.

-- BERNAMA


#Kejohanan Akuatik Asia #Khiew Hoe Yean #penerjun negara #Ahmedabad