MELAKA: Jawatan ketua jurulatih pasukan hoki kebangsaan akan diisi secepat mungkin dan dijangka sebelum bulan Ramadan bagi memastikan persiapan skuad negara menghadapi Piala Sultan Azlan Shah 2024 berjalan lancar.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata ia berikutan pengendali baharu skuad Speedy Tigers mempunyai tempoh singkat iaitu lebih sebulan setengah sebelum berlangsungnya kejohanan berprestij itu yang bermula pada 4 Mei.

"Bagi pemilihan ketua jurulatih baharu ini ia akan dinilai sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kejurulatihan KHM yang diketuai Pengerusinya Datuk Majid Manjit Abdullah dan saya dimaklumkan satu mesyuarat akan diadakan pada 20 Feb ini. Kesemua senarai calon akan ditapis setelah permohonan untuk jawatan itu berakhir semalam.

"Jawatankuasa ini akan melihat semua permohonan dari dalam dan luar negara seterusnya akan menyenarai pendek calon yang boleh diberi pertimbangan dan kemudian akan melalui proses temu duga seterusnya dibawa ke mesyuarat exco untuk mendapatkan pandangan sebelum ketua jurulatih itu dipilih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Hoki Melaka ke-24 yang turut dihadiri Presiden Hoki Melaka Datuk Rais Yasin dan Naib Presiden KHM Rogayah Mohamad.

Subahan berkata beliau turut dimaklumkan sejak permohonan jawatan ketua jurulatih itu dibuka pada 6 Feb lepas KHM menerima banyak permohonan termasuk calon tempatan dan luar negara yang berminat untuk mengendali skuad negara.

"Ini kerana mereka melihat pasukan hoki Malaysia mempunyai potensi dan bakat pemain yang boleh digilap untuk pergi lebih jauh selain suka dengan suasana harmoni masyarakat di negara ini.

"Apapun kita kena lantik seorang jurulatih dengan cepat kerana kita berharap pada bulan puasa mereka akan mula berlatih sama ada di dalam atau pun luar negara untuk fokus pasukan di Piala Sultan Azlan Shah nanti," katanya.

KHM mengiklankan notis kekosongan jawatan ketua jurulatih baharu untuk pasukan lelaki menerusi laman sesawang rasmi KHM 6 Feb selepas kontrak A Arulselvaraj berakhir berikutan kegagalan Speedy Tigers melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu pada mesyuarat tersebut menyaksikan pelantikan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Hoki Melaka iaitu jawatan presiden baharu yang diterajui Rais dan timbalan presidennya Datuk Shahdan Othman manakala Naib Presiden Azrul Effendy Bistamam, Mazlan Mohd Said, Shamsulharul Anuar, Borhan Mustafa dan Rogayah Mohamad.

-- BERNAMA