KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal kecewa dengan prestasi ditunjukkan oleh skuad hoki remaja negara, yang hanya mampu mengakhiri Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 di tempat ke-12.

Subahan berkata skuad hoki negara perlu keluar daripada terus terbelenggu dengan masalah sukar mengekalkan konsistensi dalam perlawanan, sekiranya mahu cemerlang dalam kejohanan besar pada masa akan datang.

"Bagaimanapun Young Tigers nampak peningkatan, kita hanya perlu pastikan pemain ini dibentuk untuk menjadi pasukan terbaik, konsistensi sangat penting untuk bermain, bukan sahaja dalam pasukan muda tapi pasukan senior lelaki dan wanita.

"Ada kalanya mereka main seperti jaguh dunia, ada kalanya mereka bermain seperti tidak pernah bermain hoki, dan masalah ini yang boleh diselesaikan oleh jurulatih," katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman tajaan jersi skuad hoki ke Piala Dunia Hoki 5's di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Subahan berkata terdapat sembilan pemain muda yang dikenal pasti layak beraksi di Piala Remaja Asia 2024 pada Ogos tahun depan, iaitu kelayakan untuk ke pentas Piala Dunia Remaja 2025, dan mereka akan diberi latihan serta pendedahan mencukupi.

Semalam, Young Tigers terpaksa akur mengakhiri kempen JWC 2023 di tempat ke-12, selepas dikecewakan New Zealand 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti, apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi klasifikasi tempat ke-11 dan ke-12, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Ia sekali gus menyaksikan pasukan di bawah kendalian Muhamad Amin Rahim mengalami kekecewaan berganda, kerana gagal melunaskan misi mengakhiri JWC 2023 di tempat ke-11, setelah turut terlepas dua sasaran awal iaitu layak ke suku akhir dan menamatkan kejohanan di tempat kesembilan.

Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Muhamad Amin, Subahan berkata segala keputusan berkenaan hanya ditentukan oleh pengerusi kejurulatihan yang baharu dan pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan.

Kedua-dua jawatankuasa itu, katanya akan bermesyuarat sebelum membentangkan laporan prestasi pasukan secara keseluruhan kepada KHM, seterusnya menentukan sama ada akan mengekalkan jurulatih berusia 49 tahun itu ataupun sebaliknya.

"Saya cuma presiden, kita ada jawatankuasa yang akan terus mengadakan perbincangan bagi menentukan sama ada cadangkan jurulatih baharu atau kekalkan sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai sambutan hambar daripada penonton terhadap penganjuran JWC 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Subahan berkata ia sudah dijangkakan kerana kejohanan itu diadakan di kawasan bandar.

"Bila kita buat di bandar besar memang sambutan kurang. Sebab itu India anjurkan di luar bandar, apatah lagi teknologi sekarang orang kawasan bandar lebih cenderung menonton perlawanan siaran langsung melalui peranti," katanya.

-- BERNAMA