WALAUPUN tewas dengan mata 1-5 kepada Australia dalam Piala Sultan Azlan Shah sekali gus menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan takhta liga, pasukan hoki negara masih berpeluang ke final dengan baki tiga perlawanan.

Lebih menarik, pasukan tuan rumah sudah melepasi dua lawan terkuat, New Zealand dan Australia, dengan baki lawan selepas ini mampu ditewaskan.

Selepas ini, skuad kendalian Stephen Van Huizen akan menentang Kanada, Pakistan dan India.

"Jika kami menang baki tiga perlawanan, tidak mustahil kami akan layak ke final PSAS kali ini, ia terpulang kepada keinginan semua pemain," jelas Najib Hassan.

"Berdasarkan perlawanan berdepan New Zealand, kami masih berkemampuan untuk layak ke final," ujar Fitri Saari.

Sementara itu, Firhan Ashaari mahu meningkatkan prestasi ketika berdepan Kanada dalam usaha merampas gelaran sebagai penyerang terbaik hoki negara daripada Faizal Saari.

"Misi saya adalah untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik buat pasukan, buat diri saya dan buat masa ini saya mahu mengekalkan prestasi saya untuk baki perlawanan," kata Firhan.

Firhan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pergelangan kaki.

Begitupun, ia bukan alasan untuk gagal mencari kemenangan kedua berdepan Kanada, Selasa ini dengan misi menghidupkan peluang Malaysia ke final.

"Peluang adalah lebih baik buat saya jaringkan gol ketika berdepan Kanada. Yang penting kami akan cuba dapatkan banyak pukulan sudut penalti," katanya.