SKUAD hoki remaja negara menyingkap kempen Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman, langkah kanan apabila membelasah Uzbekistan, 8-1 dalam aksi Kumpulan B pada Selasa.

Pesta gol The Young Tigers kendalian Muhamad Amin Rahim dijanakan hatrik pukulan sudut penalti T Perabu minit ketujuh, kesembilan dan 18.

Skuad muda negara terus melebarkan jaringan menerusi sentuhan Alfarico Lance Liau Jr (m-12), Shahmie Irfan Suhaimi (m-26), Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar (m-27), Mughni Mohamad Kamal (m-43) dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari (m-52).

Sementara itu, gol saguhati pasukan Uzbekistan dijelmakan hasil gol padang Shavkatjon Kakhramonov pada minit ke-55.

“Hari ini kami berjaya menjaringkan empat gol daripada 12 kelebihan pukulan sudut penalti selain menjaringkan empat gol padang daripada jumlah keseluruhan lapan gol.

“Ini satu petanda yang baik apabila pasukan menjaringkan gol menerusi gerakan padang dan pukulan sudut penalti.

“Namun kesilapan d ibahagian pertahanan melepaskan satu gol perlu dilihat kembali dan kami akan mengenalpasti bagaimana Uzbekistan berjaya mencuri satu gol pada sesi postmortem pasukan,” kata Muhamad Amin.

The Young Tigers akan berdepan Bangladesh dalam perlawanan kedua Kumpulan B pada Khamis.

Dalam pada itu Muhammad Amin berharap pemain-pemainnya akan memperbaiki kesilapan mudah dan kekal fokus untuk 60 minit perlawanan di padang.

“Saya amat berharap para pemain peka kerana sedikit kelekaan atau sambil lewa di atas padang akan mengakibatkan pihak lawan berjaya menjaringkan gol.

“Secara keseluruhan pada separuh masa pertama kami bermain dan bergerak sebagai satu unit dan hasilnya kami menjaringkan enam gol iaitu daripada pukulan sudut penalti juga gol padang.

“Namun pada separuh masa kedua, berlaku sedikit kelekaan di kalangan pemain yang mengakibatkan kami melepaskan satu gol padang menerusi serangan balas lawan selepas kami dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti,” kata Muhamad Amin. -- Sinar Harian