Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
SUKAN

Hukuman FIFA: FAM digesa selesaikan segera urusan rayuan

Bernama 11/10/2025 | 08:00 MYT
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim (tengah) bercakap kepada media pada Majlis Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Negeri Terengganu hari ini. - Foto Bernama
KUALA NERUS: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa supaya menyelesaikan segera urusan rayuan berhubung hukuman yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).


Ringkasan AI
  • FAM digesa segera menyelesaikan rayuan terhadap hukuman FIFA, termasuk denda RM1.8 juta dan penggantungan tujuh pemain warisan kerana isu pemalsuan dokumen pendaftaran.
  • Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli menekankan keperluan ketelusan, agar tiada spekulasi yang mengganggu pembangunan bola sepak negara dan peminat mendapat maklumat yang tepat.
  • FIFA mendapati dokumen sokongan pemain tidak sepadan dengan rekod asal, menyebabkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA dan tindakan tatatertib dikenakan terhadap FAM serta pemain terlibat.


Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata rayuan berkenaan perlu dibuat dengan cepat serta memenuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia.

Beliau berkata FAM juga perlu lebih telus dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat supaya tidak berlaku sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ekosistem pembangunan bola sepak negara.

"Peminat serta pendukung Harimau Malaya hanya mahukan maklumat yang benar dan tepat. FAM perlu lebih cermat dalam menguruskan hal ini," katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.

FIFA sebelum ini mengeluarkan penghakiman penuh serta alasan di sebalik tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan selepas mengesahkan wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain terbabit.

Menerusi laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memaklumkan tindakan itu diambil susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.

Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain terlibat mengandungi butiran yang tidak sepadan dengan rekod asal dari negara kelahiran sebenar pemain berkenaan.

FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

Tujuh pemain berkenaan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

-- BERNAMA




#Persatuan Bola Sepak Malaysia #FAM #FIFA #Adam Adli Abd Halim #isu dokumentasi