Impian Real Madrid undang kecaman peminat Bayern, Lennart Karl akui kesilapan

Kenyataan bintang muda Bayern Munich, Lennart Karl, yang menyifatkan Real Madrid sebagai “kelab impiannya” telah mencetuskan kontroversi besar serta mengundang kecaman hebat daripada penyokong. - Gambar Reuters
Kenyataan bintang muda Bayern Munich, Lennart Karl yang menyifatkan Real Madrid sebagai “kelab impiannya” telah mencetuskan kontroversi besar serta mengundang kecaman hebat daripada penyokong kelab Bavaria itu.
Pemain berusia 17 tahun tersebut menjadi sasaran kritikan selepas membuat pengakuan berkenaan ketika menghadiri lawatan ke kelab penyokong Bayern, Burgsinn 1980, tidak lama selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-0 ke atas RB Salzburg dalam aksi persahabatan.
“FC Bayern adalah kelab yang sangat besar dan bermain di sini adalah satu impian. Namun suatu hari nanti, saya pasti mahu ke Real Madrid. Itu adalah kelab impian saya,” kata Karl, kenyataan yang pantas tular dan mencetuskan kemarahan penyokong di media sosial.
Ramai peminat Bayern menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak menghormati kelab, malah ada yang mempersoalkan kesetiaan Karl meskipun usianya masih muda dan baru mula mendapat perhatian di peringkat senior.
Bagaimanapun, pihak Bayern Munich bertindak pantas meredakan keadaan.
Pengarah sukan, Christoph Freund mengesahkan Karl segera menyedari kesilapannya dan telah tampil memohon maaf keesokan hari.
“Dia tidak bermaksud untuk meremehkan Bayern. Dia berasa sangat selesa di sini dan menikmati setiap detik bersama kelab ini,” jelas Freund kepada Servus TV.
Freund turut menjelaskan, Karl pernah menjalani latihan di Real Madrid ketika kecil, dan soalan mengenai ‘kelab impian’ itu timbul dalam suasana perbualan santai, bukan satu kenyataan rasmi atau hasrat jangka pendek.
Sementara itu, pengarah sukan Bayern, Max Eberl, menegaskan isu tersebut kini dianggap selesai selepas Karl menyatakan kekesalan dan menerima nasihat daripada pihak kelab.
Lennart Karl kekal sebagai antara prospek muda paling cerah Bayern Munich dan kelab dilaporkan memilih pendekatan matang dengan memberikan sokongan serta bimbingan, meskipun pemain itu berdepan tekanan hebat dan kecaman daripada sebahagian penyokong sendiri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


