SUKAN
Import Thailand Picha Autra kini milik Red Giants
Picha Autra. - Foto Selangor FC
PEMAIN import baharu Selangor FC dari Thailand, Picha Autra, menyifatkan penyertaannya bersama naib juara Liga Super Malaysia itu sebagai peluang terbaik untuk menimba pengalaman berharga di pentas antarabangsa.
Bekas pemain utama Muangthong United itu bakal memperkuatkan skuad The Red Giants dalam saingan domestik, Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab ASEAN 2025/26, sekali gus melihat penyertaan ini sebagai satu cabaran peribadi dalam kerjayanya.
“Saya memilih Selangor FC kerana ia merupakan satu cabaran peribadi dan peluang yang sangat berharga buat kerjaya saya sebagai pemain bola sepak profesional. Tambahan pula, ini memberi saya ruang untuk meraih pengalaman antarabangsa dan keluar daripada zon selesa,” katanya.
Picha diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu Red Giants pada Ahad bagi memperkukuh kreativiti di bahagian tengah pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi menjelang musim baharu.
Menurut Picha, beliau kagum dengan tahap profesionalisme dan standard tinggi yang dimiliki Selangor, yang menamatkan saingan Liga Super 2024 di tangga kedua dengan 52 mata hasil daripada 16 kemenangan, empat seri dan empat kekalahan dalam 24 perlawanan.
“Kelab ini sangat profesional dan bertaraf tinggi. Saya amat gembira dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Selangor FC,” ujar pemain berusia 29 tahun itu lagi.
Picha turut menegaskan komitmennya untuk segera menyesuaikan diri bersama pasukan serta memahami budaya dan falsafah bola sepak yang diterapkan oleh kelab tersebut.
“Saya mahu cepat serasi dengan pasukan dan membina hubungan baik bersama jurulatih, pegawai serta rakan sepasukan,” katanya.
Artikel Berkaitan:
'Apa maknanya lagi Liga Super kita?'
KDN FC peruntuk RM6 juta, lengkapkan pemain import sebelum 1 Julai
Liga Super: Selangor, Sabah terikat tanpa jaringan
Picha memulakan kerjayanya dalam kancah Liga Thailand bersama kelab Nakhon Nayok, membuat 19 penampilan pada musim sulung sebelum mengorak langkah bersama Samut Prakan City FC (dahulunya dikenali sebagai Pattaya United FC).
Beliau mencatat 114 penampilan, menjaringkan 19 gol dan mencipta 13 bantuan jaringan antara musim 2015 hingga 2020.
Sinar Harian
Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!
Email
Pencapaian itu membuka ruang buat Picha menyertai skuad senior Thailand pada tahun 2019 sebelum kembali ke Muangthong United dan beraksi cemerlang selama empat musim bersama kelab gergasi berkenaan.
Pemain kelahiran Chiang Mai itu bukan sahaja menjadi tonggak utama, malah pernah diberi kepercayaan menyandang tugas kapten pasukan The Twin Qilins.
Sepanjang empat musim, beliau mencatat 159 penampilan, termasuk dua aksi peringkat kumpulan ACL2 2024/25 menentang Selangor FC.
Di peringkat antarabangsa, Picha merupakan pemilik pingat emas Kejohanan AFF 2020 bersama skuad senior Thailand, selain memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bersama skuad B-23 Gajah Perang Muda. - Sinar Harian