SUKAN
Ini tugas Hamidin usai kembali ke FAM selaku Presiden Kehormat
Peranan Presiden Kehormat termasuk memberi nasihat kepada badan utama FAM dan menghadiri mesyuarat sebagai tokoh penasihat tanpa hak mengundi. - Gambar fail/Bernama
TAN Sri Hamidin Mohd Amin sah diangkat selaku Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas diumumkan dalam Kongres Luar Biasa (EGM), sebentar tadi.
Ringkasan AI
- Tan Sri Hamidin dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM hasil pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam bola sepak tempatan dan antarabangsa, serta pengaruhnya di FIFA, AFC dan AFF.
- Peranan Presiden Kehormat termasuk memberi nasihat kepada badan utama FAM, menghadiri mesyuarat sebagai tokoh penasihat tanpa hak mengundi, dan mewakili FAM sebagai duta rasmi di peringkat domestik dan antarabangsa.
- Beliau juga boleh diberikan peranan tambahan berdasarkan keperluan dan kelulusan Jawatankuasa Eksekutif, demi menyokong struktur tadbir urus dan hala tuju strategik FAM.
Keputusan tersebut dibuat berdasarkan pengaruhnya di peringkat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), mahupun merekodkan pencapaian hebat dalam kancah tempatan sejak awal penglibatannya dalam bola sepak negara.
Sebagai individu yang dianugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM berdasarkan sumbangan cemerlang dalam arena bola sepak tanah air, penerima gelaran ini diberikan tanggungjawab dan peranan tertentu yang menyokong struktur tadbir urus FAM.
1) Memberi nasihat kepada Badan-badan Utama FAM
Presiden Kehormat FAM bertindak sebagai penasihat berpengalaman kepada Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Tetap, Ahli Gabungan serta Sekretariat Agung FAM. Dalam kapasiti ini, Hamidin boleh memberi pandangan strategik dan nasihat berasaskan pengalaman luasnya sebelum ini.
Peranan ini amat penting bagi memastikan kesinambungan dasar, penambahbaikan operasi serta pengukuhan tadbir urus dalam semua aspek pentadbiran FAM.
2) Menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Tetap FAM
Presiden Kehormat FAM boleh diundang untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif serta Jawatankuasa Tetap FAM menerusi jemputan rasmi daripada pihak pengurusan FAM. Kehadirannya adalah sebagai tokoh penasihat yang dihormati, dengan peranan menyumbang pandangan, nasihat dan input strategik berasaskan pengalaman luas dalam tadbir urus bola sepak.
Seiring dengan ketetapan Statut FAM, Presiden Kehormat FAM tidak mempunyai hak mengundi dalam sebarang perkara yang dibincangkan atau diputuskan, namun penglibatannya tetap dianggap sebagai nilai yang signifikan dalam memperkukuh perbincangan dan hala tuju organisasi.
3) Bertindak sebagai Duta Rasmi FAM
Presiden Kehormat FAM juga berperanan sebagai wakil atau duta rasmi FAM, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Hamidin boleh mewakili FAM dalam pelbagai acara rasmi, persidangan, seminar, pertemuan diplomatik sukan dan majlis pelancaran inisiatif atau projek FAM. Peranan ini bertujuan mengukuhkan imej serta kredibiliti FAM di peringkat global, selain membina jaringan strategik dengan badan-badan sukan antarabangsa.
4) Melaksanakan peranan tambahan mengikut keperluan dan persetujuan Jawatankuasa Eksekutif FAM
Selain daripada peranan utama yang telah digariskan, Presiden Kehormat FAM juga boleh diberikan tugas atau tanggungjawab tambahan yang bersesuaian, bergantung kepada keperluan semasa dan setelah mendapat persetujuan Jawatankuasa Eksekutif FAM. -- Stadium Astro