Insiden bendera Malaysia bintang pecah lima: Polis buka kertas siasatan

Fareez Azman
November 26, 2019 06:09 MYT
Paparan bendera Malaysia bintang pecah lima yang tular di laman sosial dan mendapat kecaman netizen sejak semalam. - Sumber foto FB MABA
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung punca insiden paparan bendera Malaysia dengan bintang pecah lima dalam satu acara pembukaan perlawanan bola keranjang anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), malam tadi.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, kertas siasatan dibuka selepas pihak MABA tampil membuat laporan polis kira kira jam 10.07 pagi tadi.
"Untuk makluman, pihak MABA telah membuat laporan polis berkenaan kes ini. Polis Kuala Lumpur telah membuka siasatan." katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Presiden MABA turut hadir bagi menjelaskan insiden berkenaan dan memaklumkan kesilapan yang dipercayai berlaku di pihak kontraktor Teknologi Maklumat (IT).
"Polis akan menyiasat sama ada insiden berkenaan mempunyai motif lain, dan penganjur juga sudah mengeluarkan permohonan maaf," ujarnya.
BACA: 'Tolong maafkan kami' - MABA mohon maaf insiden bendera Malaysia bintang pecah lima
Sehubungan dengan insiden berkenaan ini, polis menasihatkan pihak penganjur setiap acara agar sentiasa memeriksa terlibat dahulu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
MABA dalam satu kenyataan sebelum ini memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kelalaian berkenaan.
Klip video berdurasi 1 minit 42 saat itu mendapat reaksi netizen sejurus selepas visual paparan bendera Malaysia itu tular di laman sosial.
Ia antara lain memaparkan bendera Malaysia lima bintang ketika lagu Negaraku dinyanyikan dalam acara pembukaan itu.
Perlawanan berlangsung dari November 25 sehingga 5 Disember depan.
#Jalur Gemilang #Kuala Lumpur #laman sosial #MABA #Malaysia #Mazlan Lazim #Negaraku #netizen #Persatuan Bola Keranjang Malaysia #presiden #sukan #Tular