SUKAN
Israel giat lobi elak disingkir daripada kejohanan UEFA

Qatar antara penyumbang kewangan terbesar UEFA didakwa menekan badan induk bola sepak Eropah itu agar melaksanakan undian berkenaan. - Foto agensi/Sinar Harian
ISRAEL dilaporkan sedang berusaha keras untuk menghalang satu undian yang dijangka diadakan minggu depan bagi menyingkirkan negara itu daripada semua kejohanan bola sepak anjuran Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Ringkasan AI
- Israel berdepan risiko disingkirkan daripada semua kejohanan UEFA selepas usul penggantungan dijangka diundi minggu depan, dengan hanya 2-3 negara dijangka menentang langkah itu.
- Qatar didakwa menekan UEFA selepas serangan udara Israel ke atas pemimpin Hamas di Doha gagal, sekali gus mencetuskan kemarahan global terhadap Israel susulan krisis Gaza.
- Penggantungan bakal beri kesan besar kepada bola sepak Israel, termasuk kelab dan pasukan kebangsaan, serta berpotensi merebak ke sukan lain, menurut Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).
Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) dilaporkan giat melobi sekutu dalam dunia sukan dan diplomasi bagi menghalang undian itu.
Seorang pegawai kanan IFA dipetik berkata: “Kami sedang bekerja di semua peringkat bagi mengelakkan perkara ini berlaku.”
Kerajaan Israel pula berharap negara sahabat seperti Jerman dan Hungary akan membantu memastikan undian berkenaan tidak diteruskan.
Kempen tekanan oleh Qatar itu dipercayai bermula selepas serangan udara Israel yang menyasarkan pemimpin Hamas di Doha awal bulan ini. Serangan tersebut dilaporkan gagal mengenai sasaran, selain menjejaskan rundingan gencatan senjata di Gaza yang ketika itu dimediasi Qatar.
Ketika ini, pasukan kebangsaan Israel sedang bersaing dalam kejohanan kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 yang dikendalikan UEFA. Sementara itu, kelab Maccabi Tel Aviv dijadual bertemu kelab Greece, PAOK FC, dalam aksi Liga Europa minggu ini.
Menurut Ketua Komunikasi IFA, Shlomi Barzel, sebarang penggantungan daripada kejohanan Eropah akan memberi kesan besar kepada bola sepak Israel.
“Ia ibarat pukulan maut kepada bola sepak Israel dan berkemungkinan akan diikuti dengan tindakan sama dalam sukan lain,” katanya.
Beliau turut menyifatkan masih adanya penyertaan Israel dalam kejohanan antarabangsa sebagai satu 'keajaiban', sambil memberi amaran bahawa satu lagi insiden serius di Gaza mampu menamatkan peluang Israel serta-merta.
Kemarahan global terhadap Israel susulan krisis kemanusiaan di Gaza kini turut merebak ke arena sukan dan budaya. Pihak yang mengkritik Israel mendesak negara itu dipinggirkan daripada acara antarabangsa, sama seperti Rusia yang digantung sejak pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.
Terdahulu, beberapa kumpulan penyokong dan kelab bola sepak di Eropah mengadakan protes menentang perlawanan menentang pasukan Israel.
Malah, pada perlawanan akhir Piala Super UEFA bulan lalu, badan induk bola sepak itu sendiri memaparkan kain rentang besar bertulis “Hentikan pembunuhan kanak-kanak — hentikan pembunuhan orang awam”, meskipun peraturan UEFA melarang paparan mesej politik atau ideologi di stadium.- Agensi/Sinar Harian

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami