[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
SPORTS

Isu boikot latihan: MA utamakan kebajikan atlet, harap latihan diteruskan

Bernama 19/04/2025 | 08:15 MYT
Shahidan berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat terperinci dan akan menjalankan siasatan menyeluruh, sebelum sebarang tindakan diambil. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Olahraga Malaysia (MA) menegaskan kebajikan atlet negara akan terus menjadi keutamaan susulan isu mogok latihan yang dikendalikan oleh Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia Robert Ballard.
Presiden MA Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat terperinci dan akan menjalankan siasatan menyeluruh, sebelum sebarang tindakan diambil dengan menekankan setiap keputusan perlu berpandukan kepada fakta.
"Sekarang ini yang paling penting adalah fakta. Kita tidak boleh ambil tindakan terburu-buru. Kebajikan atlet tidak akan diabaikan. Kita sedang membuat persiapan untuk Sukan SEA," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata satu mesyuarat majlis badan induk itu dijadual berlangsung pada 24 April ini bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh serta mencari jalan penyelesaian yang adil.
"Latihan perlu diteruskan. Kita tidak mahu atlet terganggu persiapan mereka. Untuk menyediakan seorang atlet, ia mengambil masa yang lama. Jadi, kita perlu jaga kesinambungan latihan mereka.
"Saya tidak mahu mana-mana pihak terganggu. Jika isu ini berlarutan, tumpuan terhadap latihan akan terjejas. Kita akan ambil tindakan serta-merta untuk memperbaiki keadaan," katanya.
Shahidan berkata ketika ini beberapa atlet kebangsaan sedang menyertai kejohanan luar negara, termasuk di Arab Saudi, Korea Selatan dan Hong Kong manakala enam kejohanan Super Series sedang berlangsung di dalam negara sebagai sebahagian program persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu.
Media sebelum ini melaporkan beberapa atlet pecut membuat keputusan untuk memboikot program latihan oleh Ballard sejak sebulan lepas dan menerima ugutan dibuang daripada program sekiranya mereka meluahkan ketidakpuasan hati mengenai cara pengurusan warga Australia itu.
Majlis Sukan Negara (MSN) semalam memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan atlet olahraga dan MA minggu depan berhubung isu mogok latihan dikendalikan Ballard.
Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata beliau berharap dapat memperoleh maklumat lebih terperinci mengenai kemelut terbaharu melanda kem olahraga negara dalam pertemuan itu.
-- BERNAMA
#boikot latihan #atlet negara #MSN #Robert Ballard