[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
SUKAN

Isu dokumentasi: JDT kecewa kesilapan teknikal FAM

Astro Awani 30/09/2025 | 10:06 MYT
Luis Garcia, berkata ia menyebabkan penggantungan tiga pemain skuad kebangsaan yang kini beraksi bersama JDT. - Gambar/ FB JOHOR Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) meluahkan rasa kecewa susulan berlakunya kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen membabitkan pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).


Ringkasan AI
  • JDT meluahkan rasa kecewa terhadap kesilapan teknikal oleh FAM dalam proses penghantaran dokumen kepada FIFA yang menyebabkan tiga pemain kebangsaan yang kini bersama JDT digantung selama 12 bulan.
  • Kesilapan tersebut berkaitan pemalsuan dokumen kelayakan tujuh pemain warisan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2027, menyebabkan FAM didenda CHF350,000 dan setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 serta penggantungan.
  • FAM mengakui kesilapan pentadbiran dan menegaskan pemain terbabit adalah rakyat Malaysia yang sah, serta sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan rasmi.


Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, berkata ia menyebabkan penggantungan tiga pemain skuad kebangsaan yang kini beraksi bersama JDT.

Katanya, insiden tersebut memberi kesan langsung kepada kelab dan berharap agar isu berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.

“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan para pemain terbabit dapat kembali mewakili JDT dalam masa terdekat,” katanya.

Jumaat lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA menerusi kenyataan memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman, kemudian mengakui terdapat kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan kakitangan pentadbiran badan induk itu.

Noor Azman berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menegaskan para pemain terbabit adalah rakyat Malaysia yang sah.

Beliau menambah FAM kini menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.



#JDT #FAM #FIFA #dokumen palsu