SUKAN

Isu dokumentasi: 'Saya tidak tahu bagaimana FAM akan buat rayuan' - Bintang Vietnam

Astro Arena 29/09/2025 | 05:40 MYT
Skuad Vietnam tewas 0-4 kepada Harimau Malaya dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 di Bukit Jalil, Jun lalu. - Gambar/ Stadium Astro
PEMAIN kebangsaan Vietnam, Bui Tien Dung dan Nguyen Quang Hai berkongsi pandangan mereka mengenai penggantungan tujuh pemain Harimau Malaya serta denda kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Dua pemain Vietnam, Bui Tien Dung dan Nguyen Quang Hai menyokong tindakan FIFA terhadap FAM berhubung penggantungan tujuh pemain Harimau Malaya dan menuntut penjelasan lanjut daripada Malaysia.
  • Mereka mempersoalkan kesahihan penaturalisasian pemain asing Malaysia dan kesannya terhadap pembangunan bola sepak ASEAN, serta kemungkinan keputusan perlawanan ditukar.
  • FAM mengakui kesilapan teknikal dalam penyerahan dokumen dan sedang menunggu keputusan penuh FIFA sebelum mengemukakan rayuan rasmi.


Menerusi portal Vietnam, kedua-dua tonggak itu meluahkan pendapat peribadi, sambil menegaskan bahawa FIFA bertindak dengan wajar dan menuntut penjelasan terbaik daripada Malaysia.

Sudah pasti, kemenangan besar 4-0 skuad kendalian Peter Cklamovski memberi impak negatif kepada Naga Emas dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 di Bukit Jalil, Jun lalu.

Dan, hukuman daripada badan induk dunia itu telah menjadi topik hangat rantau ini.

"Keputusan FIFA terhadap FAM adalah betul, kerana sudah pasti FIFA menjalankan siasatan menyeluruh sebelum menjatuhkan hukuman.

"Tetapi saya tidak pasti sama ada kami akan diberikan kemenangan.

"Ketika aksi berlangsung, Malaysia menunjukkan peningkatan ketara kerana tiba-tiba membawa masuk beberapa pemain asing baharu dari Eropah.

"Kini ternyata penaturalisasian itu tidak sah. Sejujurnya, ini tidak membantu pembangunan bola sepak Asia Tenggara (ASEAN).

"Saya tidak tahu bagaimana Malaysia akan membuat rayuan atau jika mereka boleh membatalkan keputusan FIFA," kata Bui Tien Dung.

Nguyen Quang Hai turut berkongsi pandangan senada: "Sejujurnya, saya tidak tahu sama ada FAM boleh berjaya dalam rayuan, atau jika Vietnam akan diberikan kemenangan.

"Secara umumnya, kita hanya perlu tunggu dan lihat. Buat masa ini, saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai keputusan FIFA," katanya.

Terdahulu, bintang warisan negara, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano, telah dikenakan penggantungan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA (kerana pelanggaran Tatatertib FIFA2) berhubung isu dokumentasi.

Ada yang mengutarakan persoalan adakah keputusan perlawanan yang memainkan pemain-pemain itu sebelum diketahui status sebenar akan bertukar dan menjadi sebaliknya seperti tidak dikira atau diberi kemenangan percuma kepada pihak lawan? Itu belum diputuskan lagi secara terang dan masih menunggu pengesahan rasmi.

FAM dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa badan induk itu sedang menunggu keputusan penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan.

Menerusi kenyataan setiausaha agungnya, Datuk Noor Azman Rahman, FAM mengakui ada kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen oleh kakitangan pentadbiran. - Stadium Astro








#FIFA #FAM #Vietnam #kelayakan piala Asia