Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
SUKAN

Isu pemain warisan: Dana kerajaan tidak boleh diguna untuk proses rayuan di CAS

Bernama 20/11/2025 | 12:37 MYT
HANNAH: Jika FAM hendak pergi ke CAS, FAM kena bersedia untuk menanggung belanja. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dana kerajaan yang diperuntukkan kepada pasukan bola sepak kebangsaan tidak boleh digunakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk proses rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung kes pemain warisan Harimau Malaya.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kerajaan telah menyalurkan geran RM15 juta bagi menyokong persiapan skuad utama dan pasukan bawah 23 tahun untuk layak ke Piala Asia termasuk pembayaran elaun, gaji jurulatih dan latihan.

"Dana ini tidak dibenarkan untuk FAM gunakan bagi proses-proses rayuan. Jadi, kalau FAM nak pergi ke CAS, FAM kena bersedia untuk menanggung belanja," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan menyalurkan sebarang dana tambahan bagi pasukan kebangsaan sehingga siasatan dan penambahbaikan pengurusan FAM selesai.

Selain itu, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menilai cadangan penambahbaikan termasuk memastikan setiap permohonan naturalisasi pemain dirujuk kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan program pembangunan atlet tempatan terus diberikan keutamaan.

Sebelum ini, Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilapor berkata FAM akan memulakan proses untuk membawa kes dokumentasi tujuh pemain warisan negara ke CAS bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan kerajaan dan badan berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata pencapaian atlet negara dalam sukan lain termasuk badminton, wushu, tenpin boling dan boling padang pada tahun ini amat membanggakan.

"Untuk 2025, kita lahirkan banyak juara dunia antaranya beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (badminton). Kalau kita terus memberikan sokongan kepada atlet dan mendapat latihan dan pendedahan mencukupi, saya yakin prestasi mereka akan terus meningkat," katanya.

Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM1,182,924,500 bagi KBS dalam Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju.

Persidangan bersambung Isnin.

-- BERNAMA

#pemain warisan #dana kerajaan #rayuan #CAS #FAM #Hannah Yeoh