[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
SPORTS

Isu saham Sri Pahang: Nazrul Izad pertimbang ambil tindakan undang-undang

Sinar Harian 11/05/2025 | 06:17 MYT
Mohd Nazrul menegaskan niatnya adalah untuk membangunkan pasukan dan percaya ada pihak yang cuba menghalang kejayaannya. - Sinar Harian
AHLI perniagaan, Datuk Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terus menaburkan fitnah dan tohmahan liar berhubung hasratnya untuk membeli saham pasukan bola sepak, Sri Pahang FC.

Ringkasan AI
  • Datuk Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad mempertahankan dirinya daripada tohmahan berkaitan hasrat membeli saham Sri Pahang FC dan bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menabur fitnah.
  • Beliau menegaskan niatnya adalah untuk membangunkan pasukan dan percaya ada pihak yang cuba menghalang kejayaannya.
  • Jika pembelian saham tidak berjaya, beliau berhasrat menubuhkan pasukan bola sepak baharu di Pahang.

Pengerusi Eksekutif NNA Land & Construction Sdn Bhd itu sedia menerima sebarang pandangan namun tidak boleh berdiam diri apabila ada pihak membuat tohmahan berniat jahat yang boleh menjatuhkan imej serta maruah dirinya.
"Mereka bukan saja mahu mencemarkan imej malahan cuba menjatuhkan perniagaan serta kerjaya politik saya," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.
Khamis lalu, sebuah portal berita menyiarkan satu artikel menggesa Sri Pahang menolak tawaran ahli perniagaan itu yang dilabel sebagai 'Datuk Scammer'.
Mohd Nazrul Izad yang merupakan Pengerusi Tetap UMNO Indera Mahkota berkata, artikel itu jelas satu fitnah murahan dipercayai didalangi beberapa individu yang tidak mahu melihat kejayaan pasukan Sri Pahang FC pada masa hadapan.
"Saya tidak pernah dijatuhkan hukuman atau disabitkan bersalah terhadap mana-mana kes malah semua dakwaan sebelum ini telah digugurkan mahkamah.
"Maka tidak sewajarnya pihak-pihak tertentu menyerang saya yang cuba menyelamatkan Skuad Tok Gajah ini," katanya.
Menurut Mohd Nazrul Izad, berkemungkinan ada individu yang gelisah dan takut sekiranya beliau berjaya membawa pasukan Sri Pahang ke arah yang lebih baik.
Justeru itu, beliau akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.
"Banyak laporan berita dan komen jelik bertujuan menjatuhkan imej saya telah tersebar dalam media sosial susulan hasrat itu. Semua usaha jahat itu saya percaya daripada individu atau kumpulan yang cemburu dengan kejayaan saya sebelum ini.
"Selepas sekian lama menghilangkan diri tanpa jejak, tiba-tiba saya muncul dengan kejayaan seperti yang ada hari ini," dakwanya.
Bagaimanapun, tegas Mohd Nazrul Izad, semua yang berlaku menjadi pembakar semangat untuk beliau terus maju ke hadapan.
"Apa jua keadaan dan situasi yang berlaku, saya serah kepada Allah SWT.
"Sekiranya hasrat untuk membeli Sri Pahang tidak kesampaian, saya bercadang untuk menubuhkan satu pasukan bola sepak baharu di negeri ini," katanya.
Sebelum ini, usahawan hartanah itu menyatakan minat membeli Sri Pahang FC demi memastikan skuad Tok Gajah itu terus berjuang dalam liga bola sepak negara.
Memetik laporan sebuah akhbar, Mohd Nazrul Izad mendakwa sudah menghantar surat rasmi berhubung hasrat berkenaan kepada pengurusan skuad terbabit. -- Sinar Harian
#ahli perniagaan #Sri Pahang FC #beli saham #Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad