Penguasaan lapan tahun Sepanyol sebagai 'Raja Eropah' berakhir selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Itali di Saint-Denis, sekaligus mengesahkan tempat di pusingan suku akhir untuk bertemu Jerman.

Kemenangan itu juga seakan membalas dendam terhadap kekalahan besar pada aksi final Euro 2012 yang menyaksikan Itali dibelasah 4-0 di Kiev.

Skuad kendalian Antonio Conte mempamer corak permainan yang lebih garang dan pantas berbanding Sepanyol yang mengekalkan taktikal penguasaan bola.

Pertahanan, Giorgio chiellini membuka jaringan daripada bola muntah penjaga gol Sepanyol, David De Gea yang gagal menangkap kemas sepakan percuma Eder pada minit ke-33.

Sepanyol kemudian meningkatkan ancaman ke kubu Itali, namun tandukan Sergio Ramos tersasar sementara Gianluigi Buffon menyelamatkan rembatan jarak jauh Andres Iniesta dan cubaan jarak dekat Gerard Pique.

Graziano Pelle memastikan kemenangan berpihak kepada Azzuri dengan voli hasil serangan balas pada minit akhir perlawanan.

Derita La Roja mungkin lebih parah tanpa De Gea, yang cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Itali.

Sementara perlawanan terakhir pusingan 16 terbaik pula menyaksikan Iceland melakar sejarah dengan melangkah ke pusingan suku akhir buat pertama kali apabila bangkit dari ketinggalan untuk menyingkirkan England.

Pada awalnya, skuad The Three Lions kelihatan seperti mampu mencipta kemenangan selepas Wayne Rooney menyumbat gol pembukaan daripada sepakan penalti ketika perlawanan baru empat minit bermula.

Bagaimanapun, tidak sampai dua minit kemudian, Ragnar Sigurdsson menyamakan kedudukan.

Sigurdsson meloloskan diri daripada kawalan Kyle Walker untuk menampan masuk bola yang ditanduk ke depan gol oleh Kari Arnason hasil daripada lontaran ke dalam jauh pada minit ke-6.

Persembahan memalukan England di Nice itu dirumuskan dengan gol kemenangan Iceland pada minit ke-18, dan sekali lagi Joe Hart menjadi punca setelah gagal menangkap mahupun menepis bola mudah tendangan Kolbeinn Sigthorsson.

Memasuki babak kedua, Roy Hodgson melakukan beberapa perubahan bagi menajamkan jentera serangan iaitu dengan memasukkan Vamie Vardy, Jack Wilshere dan Marcus Rahsford bagi menggantikan Rooney, Raheem Sterling dan Eric Dier.

Usaha tersebut tidak mampu menjelmakan sebarang gol dan jaringan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan tersebut bermakna Iceland akan bertemu tuan rumah, Perancis sementara Itali berdepan juara dunia Jerman, menjadi perlawanan tumpuan bagi pusingan suku akhir.