Izzah Izzati tamat kemarau 12 tahun, rangkul emas keirin wanita di India

Bernama
Februari 25, 2024 15:24 MYT
Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta sensasi dengan menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) apabila muncul juara edisi 2024 di New Delhi, India, hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelumba bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta sensasi dengan menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) apabila muncul juara edisi 2024 di New Delhi, India, hari ini.
Pelumba berusia 20 tahun itu menampilkan kayuhan bertenaga untuk mengatasi Tong Mengqi dari China yang merangkul perak manakala seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi melengkapkan kedudukan podium menerusi pingat gangsa dalam saingan berlangsung di Velodrom Indira Gandhi.
Kejayaan Nurul Izzah pada hari kelima kejohanan menyaksikan beliau menambah lagi pungutan pingat selepas meraih gangsa acara pecut wanita Jumaat lepas dan perak pecut wanita berpasukan bersama Anis Amira dan Nurul Aliana Syafika Azizan, Rabu lalu.
Kali terakhir Malaysia memenangi emas keirin wanita adalah pada edisi 2012 di Velodrom Cheras, di sini menerusi Fatehah Mustapa.
-- BERNAMA
#pelumba berbasikal trek wanita #Nurul Izzah Izzati Mohd Asri #emas #acara Keirin #kejohanan berbasikal trek asia #acc