SUKAN

Jadikan RTG sebagai contoh - Hannah Yeoh

Ernalisa Othman 20/09/2025 | 03:00 MYT
Hannah Yeoh (duduk, tengah) menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-20 Tahun 2025 di Dewan Utama, Bangi Avenue Convention Center (BACC), pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
BANGI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mencontohi mekanisme Road to Gold (RTG) bagi memastikan isu ganjaran atlet tidak lagi berulang.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, RTG telah menetapkan setiap tawaran penajaan atau ganjaran perlu dimeterai dalam bentuk kontrak sebelum atlet berangkat ke temasya sukan antarabangsa.

Langkah ini, katanya, penting untuk mengelakkan isu kegagalan menunaikan janji selepas kejohanan.

“Selepas ini, saya harap Majlis Paralimpik Malaysia boleh gunakan contoh kontrak RTG. RTG sudah ada mekanisme jelas, kita memang tandatangani dengan penaja sebelum atlet pergi supaya tiada isu berbangkit,” katanya.

“Kalau ada janji, kita tunaikan. Kalau tiada, kita beritahu sebab dan perbaiki masalah. Tidak perlu sampai ke tahap mahu menggantung atlet,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-20 Tahun 2025 di Dewan Utama, Bangi Avenue Convention Center (BACC), di sini, pada Sabtu.

Ditanya adakah KBS akan menjadi perantara kepada isu ini, beliau menegaskan, perkara itu tidak perlu.

"Perkara ini sebenarnya mudah dan tidak memerlukan sebarang perantara.

" Saya lihat perkara ini 'simple' ... tak perlu perantara. Jika berjanji tunaikan. Jika tidak dapat tunaikan, maklumkan alasannya da perbaiki masalah ini," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan pendaftaran atlet ke kejohanan antarabangsa lazimnya diuruskan oleh persatuan sukan masing-masing, manakala pembayaran serta ganjaran berada di bawah tanggungjawab MPM.

Ulasnya, kenyataan mengenai larangan atau penggantungan atlet hanya mengundang kemarahan rakyat yang mahu melihat atlet dilayan dengan adil.

“Saya rasa kemarahan rakyat ada asasnya dan kita perlu mendengar suara mereka. Sebab itu perlu ada penambahbaikan, supaya isu ganjaran tidak lagi timbul selepas setahun temasya berlangsung,” ujarnya.

Kontroversi tercetus selepas isu tuntutan ganjaran tertunggak oleh atlet Paralimpik negara mendapat perhatian umum.

Keadaan menjadi tegang apabila timbul kenyataan berhubung cadangan penggantungan atlet, sehingga mencetuskan kemarahan rakyat.

RTG sebelum ini telah menjadi model tadbir urus telus apabila semua tawaran penaja kepada atlet Olimpik direkodkan melalui kontrak rasmi, sekali gus memastikan kebajikan atlet terjamin.


#Road to Gold #Majlis Paralimpik Malaysia #ganjaran atllet #Hannah Yeoh