Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang menerima sambutan wira

Astro Awani
April 16, 2017 14:34 MYT
Atlet basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang bersama isteri serta dua anaknya sekembalinya dari Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini. - Foto Bernama
Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang menerima sambutan wira sebaik tiba di tanah air sebentar tadi, susulan kejayaannya meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Dunia Berbasikal Dunia 2017 (UCI) di Hong Kong, Khamis lalu.
Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan “The Pocket Rocketman” nyata tidak mahu menghampakan peminatnya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tepat jam 7.55 malam tadi.
Ketibaan Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman', turut disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Dr Mohd Khairi Zawi dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Suasana di balai ketibaan lapangan terbang itu bertambah meriah dengan gelagat orang ramai yang hadir memakai baju tertera 'Team Malaysia' dengan melaungkan 'Malaysia Boleh' sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Sebaik muncul, dia melambai-lambaikan tangan kepada kira-kira 500 peminatnya yang setia menanti.
Dia juga sempat bersalaman dan menandatangani autograf untuk orang ramai yang mengerumuninya sebelum beredar menaiki kenderaan Institut Sukan Negara (ISN).
Turut menyambut ketibaan Azizulhasni, adalah isteri serta dua anaknya.
#Azizulhasni Awang #Hong Kong #KLIA