Seni mempertahankan diri sebenarnya mempunyai falsafah yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, ujar atlet bela diri campuran (MMA), pelakon dan juga model, Peter Davis.

“Untuk mencapai kejayaan, seni bela diri bukan sekadar mengajar tentang mempertahankan diri malah menyerang. Anda perlu tahu cara untuk bergerak ke hadapan secara agresif.

“Latihan dan disiplin yang tinggi dapat menjadikan seseorang itu bertambah baik dan jika semua orang mempelajari sesuatu daripadanya, dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik,” ujarnya.

Jaguh berusia 34 tahun itu berkata demikian sewaktu menjadi personaliti undangan yang menjawab pertanyaan para peminatnya melalui program kelolaan laman Facebook Astro AWANI iaitu sembang atas talian #AwaniChat.

Sesi tersebut berlangsung sempena pencarian atlet MIM Malaysian Invasion (MIMMA) musim ketiga di Paradigm Mall, Petaling Jaya.

“MMA mengajar anda pelbagai gaya asli dan anda boleh gabungkannya menjadi gaya anda sendiri.

“Sekarang ini saya memberi tumpuan kepada jiu-jitsu Brazil (BJJ) dan gusti untuk meningkatkan kemampuan pergelutan, sementara gaya asas saya ialah wuji kungfu,” kata Peter menjawab soalan daripada Hazhmir Dean.

Peter Davis
Peter selepas menjawab pertanyaan para peminatnya melalui program #AwaniChat selama dua jam pada Sabtu. - Astro AWANI/Syafique Shuib


Menjawab soalan daripada pengguna media sosial dengan nama Trace’s Handicraft yang bertanyakan tentang kecenderungan minat sama ada dalam lakonan, peragaan atau berlawan, Peter memberitahu bahawa dia menyukai kesemuanya.

“Bagaimanapun, oleh kerana usia yang semakin meningkat, saya tidak akan boleh berlawan berterusan dan mungkin memilih kerjaya lakonan sepenuh masa.

“Semuanya bergantung kepada peluang yang saya terima untuk berlakon dalam filem yang bagus. Sementara menunggu peluang itu datang, saya akan terus berlatih dan berlawan selama yang mampu,” katanya yang mengakui mendapat inspirasi daripada ahli gusti terkemuka dan juga pelakon, Dwayne Johnson atau The Rock.

Pelbagai jenis soalan telah diterima Peter sepanjang sesi tersebut, antaranya adalah mengenai inspirasi hidup, rejim kecergasan, kerjaya lakonan dan aktiviti santai.

Bercakap mengenai kaedah mengawal berat badan, Peter menasihatkan agar sentiasa memantau pengambilan dan pembakaran kalori selain mengamalkan gaya hidup aktif serta banyak minum air.