Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
SUKAN

"Jangan bergantung sepenuhnya kepada ejen," pesan 'King' James kepada pemain

Amirul Aiman 18/11/2025 | 13:45 MYT
James memberi peringatan kepada pemain muda agar lebih bertanggungjawab terhadap kontrak dan keputusan kerjaya, menekankan bahawa semakan teliti mampu mengelakkan kesilapan yang menjejaskan masa depan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada ejen dalam perkara berkaitan kerjaya mereka, kata seorang legenda kebangsaan, Datuk James Wong.


Ringkasan AI
  • Datuk James Wong menegaskan pemain bola sepak perlu memahami kontrak dengan teliti dan tidak bergantung sepenuhnya kepada ejen untuk mengelakkan masalah di masa hadapan.
  • FIFA mendedahkan bahawa tujuh pemain naturalisasi yang digantung sebelum ini mengakui tidak pernah membaca dokumen permohonan naturalisasi yang dihantar kepada kerajaan Malaysia.
  • Bekas penyerang negara, Datuk James Wong, menasihati pemain muda agar memahami setiap syarat kontrak sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada ejen serta bersikap proaktif dalam menyemak dan mencabar maklumat yang diberikan.


James yang lebih dikenali sebagai "King" James, mengingatkan pemain bahawa pemahaman menyeluruh terhadap setiap klausa dalam kontrak amat diperlukan sebelum membuat komitmen profesional.

“Saya sendiri sentiasa membaca kontrak secara terperinci, klausa demi klausa, huruf demi huruf, untuk memastikan saya memahaminya dengan tepat dan tidak menghadapi masalah kemudian hari.

“Jika masih ragu, pemain harus meminta penjelasan daripada ejen, tetapi pada masa yang sama perlu memastikan mereka sendiri benar-benar faham maksud setiap perkara,” kata bekas pemain Sabah itu kepada Astro AWANI.

James, yang terkenal dengan jaringan kemenangan ketika menewaskan Korea Selatan pada Kelayakan Olimpik 1980, menyatakan sebarang kesilapan pada dokumen tetap menjadi tanggungjawab pemain.

Pada Selasa, Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerbitkan dokumen alasan penuh berhubung keputusan Jawatankuasa Rayuan terhadap kes pemain warisan Malaysia.

Ia mendedahkan bahawa tujuh pemain naturalisasi yang digantung sebelum ini mengakui mereka tidak pernah membaca dokumen permohonan naturalisasi yang dihantar kepada kerajaan Malaysia.

Menurut dokumen itu, semua pemain memberitahu panel bahawa mereka hanya menyerahkan sijil lahir datuk atau nenek yang diberikan keluarga kepada ejen, tanpa membuat sebarang semakan kesahihan.

FIFA juga mendedahkan bahawa para pemain tidak meminta penerangan lanjut dan tidak membuat apa-apa usaha untuk menyemak semula dokumen yang diserahkan, walaupun selepas prosiding disiplin dibuka dan mereka digantung.

Dalam laporan itu, FIFA menyimpulkan tindakan pemain sebagai satu bentuk kecuaian serius dan kepercayaan membuta tuli terhadap ejen, menyatakan pemain tidak menunjukkan "tanggungjawab profesional" mereka sepanjang proses tersebut.

Dalam pada itu, James berpandangan pendedahan FIFA itu harus dijadikan peringatan kepada pemain agar tidak menyerahkan urusan penting kepada pihak lain tanpa penelitian sendiri.

Bekas penyerang negara itu turut menasihatkan pemain muda supaya memahami setiap syarat, dan menegaskan bahawa keputusan akhir tetap perlu dibuat oleh individu itu sendiri tanpa bersandar penuh kepada ejen.

"Mereka perlu berani menyemak, menyoal, dan mencabar mana-mana perkara yang kelihatan tidak betul," katanya.




#FIFA #pemain warisan #ejen #bola sepak