Jaringan Messi tidak cukup beri kemenangan PSG

Astro Arena
Oktober 6, 2022 00:20 MYT
Aksi Lionel Messi menendang bola ketika perlawanan Liga Juara-Juara kumpulan H antara SL Benfica dan Paris Saint-Germain di stadium Luz, Lisbon, 5 Okt 2022. (Foto AP)
PARIS Saint-Germain terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 di Benfica selepas bergelut untuk tempoh yang lama dalam perlawanan Liga Juara-Juara awal pagi tadi walaupun Lionel Messi menghasilkan satu jaringan.
Benfica mempamerkan corak permainan agresif dengan memberikan tekanan kepada PSG di awal permainan, sehingga Messi memecah kebuntuan dengan gol ke-127nya dalam saingan teratas Eropah.
Gol itu hadir selepas gerakan yang melibatkan keseluruhan trio penyerang 'MNM' ketika Messi bergabung dengan Kylian Mbappé dan Neymar sebelum melakukan lencongan dengan kaki kirinya.
Benfica menyamakan kedudukan sebelum rehat hasil jaringan sendiri daripada Danilo Pereira.
PSG dan Benfica kedua-duanya memenangi dua perlawanan pembukaan mereka dalam Kumpulan H kini berkongsi tujuh mata.
Juventus berada di tempat ketiga, empat mata di belakang, mendahului tempat terakhir Maccabi Haifa yang masih belum mengumpul sebarang mata.
#PSG #Liga Juara-Juara #Lionel Messi #Benfica