[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
SPORTS

JDT All-Stars Friendly berjaya kumpul RM680,000 untuk kebajikan

Bernama 30/06/2019 | 20:34 MYT
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (depan tiga, kiri) yang juga pemain pasukan JDT TMJ meraikan kemenangan pasukan selepas selesai Perlawanan Amal JDT ALL STARS di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos Johor Bahru. - Foto BERNAMA
Perlawanan 'JDT All-Stars Friendly' yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini malam tadi, berjaya mengumpul dana sebanyak RM680,000 untuk disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang memerlukan.
Perlawanan amal yang menarik tumpuan ramai kerana disertai beberapa bekas pemain ternama dunia itu berkesudahan dengan pasukan JDT TMJ menewaskan JDT Rest of The World, 9-5.
Sejumlah RM600,000 daripada dana itu merupakan hasil jualan lebih 17,000 tiket manakala RM80,000 lagi adalah sumbangan dari pemain dan pihak pengurusan kelab Johor Darul Takzim.
Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim (dua, kanan) yang juga Presiden Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenan menyerahkan replika cek hasil kutipan Perlawanan Amal JDT All Stars kepada wakil Persatuan Kanser Tunku Laksamana Johor selepas selesai perlawanan di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos malam tadi. - BERNAMA
Antara pertubuhan yang bakal menerima dana ialah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).
Selain mengumpul dana, perlawanan itu turut menyaksikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyumbang sebanyak RM200,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah.
Terdahulu, dalam perlawanan itu, tiga gol hatrik pasukan JDT TMJ disumbangkan oleh Florent Malouda pada minit keenam, ke-11 dan ke-66.
Enam lagi gol pula dijaringkan Robert Pires (pada minit ke-13 dan ke-44); Marco Materazzi (minit ketiga); Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (minit ke-23), David Trezeguet (minit ke-50) dan Diogo Santo (minit ke-89).
Aksi Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan) dalam Perlawanan Amal JDT All Stars antara pasukan JDT TMJ dan pasukan JDT Rest of The World di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos malam tadi. - BERNAMA
Untuk gol JDT Rest of The World, dua gol diledakkan Rivaldo pada minit ke-43 dan ke-46; dan masing-masing satu oleh Louis Saha (menerusi sepakan penalti pada minit ke-21); Edgar David (minit ke-58) dan Claudio Caniggia (minit ke-59).
Selain bintang gergasi, perlawanan juga memperlihatkan penyanyi rap tanah air Joe Flizzow beraksi untuk pasukan JDT Rest of The World.
-- BERNAMA
#JDT All-Stars Friendly #JDT Rest of The World #JDT TMJ #National Cancer Society Malaysia #ncsm #Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia #Sultan Johor #Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor